TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 1 (INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN)

TERAS PEMBANGUNAN FA SELANGOR: TERAS 1 (INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN)

Sewaktu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah mengambil alih tampuk pimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada tahun lalu, lima teras utama telah dikenalpasti dalam usaha untuk menjadikan FAS sebuah entiti yang lebih terkehadapan.

Lima teras tersebut adalah Infrastruktur dan Kemudahan, Pasukan Utama, Pembangunan Akar Umbi, Pengkomersialan dan yang terakhir adalah Tadbir Urus.

Bagi aspek infrastruktur dan kemudahan, beberapa perubahan telah dilaksanakan pihak pengurusan dalam usaha untuk memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pemain, malah kepada barisan kejurulatihan serta staf.

Antara penambahbaikan kemudahan yang telah dinaiktaraf yang kita boleh lihat dengan jelas adalah pusat latihan dan juga pejabat baru FAS di bawah satu bumbung yang sama.

Bertempat di Kompleks Sukan SUK, FAS telah membina pusat latihan baharu yang bertaraf antarabangsa serta pejabat yang berciri moden dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti pemain dan staf yang lebih produktif.

Kita boleh lihat dalam pusat latihan baharu, gimnasium yang lama telah dinaik taraf, pemain kini mempunyai ruang rehat yang selesa dan yang paling penting permukaan padang yang berkualiti.

Selain itu, kemudahan daripada segi perubatan dan pemulihan juga telah ditambahbaik. FAS kini mempunyai beberapa kelengkapan yang bertaraf antarabangsa yang digunakan oleh kelab-kelab profesional di luar negara.

Antara kelengkapan yang telah dimiliki oleh FAS adalah Lymphatic Drainage Machine, Super Inductive System, High Intensity Laser Machine, Shockwave Machine dan juga Electrotherapy and Ultrasound Vacuum.

Dengan keberadaan mesin ini, Selangor mampu untuk memastikan pemain-pemain mendapatkan rawatan yang sepatutnya sekiranya dilanda kecederaan.

Manakala bagi pejabat pula, FAS telah berpindah daripada pejabat yang usang di Kelana Jaya ke Kompleks Sukan SUK di Seksyen 6 Shah Alam.

Berada di satu bumbung bersama dengan pusat latihan, ianya lebih mengeratkan lagi hubungan di antara pemain dan pihak pengurusan serta memudahkan urusan semua pihak.

Selain itu, pengalaman hari perlawanan di stadium turut ditingkatkan oleh FAS. “Pop up Store” yang menjual barangan rasmi pasukan di mana penyokong boleh membeli barangan yang dijual oleh FAS sekaligus meningkatkan pendapatan pasukan.

FAS juga menerapkan system pencetakan tiket “on-the-spot” di mana dengan sistem ini, sukar untuk mana-mana individu mengeskploitasi jualan tiket serta ianya lebih menjimatkan kerana tiada lebihan tiket yang tidak dijual.

Selain itu, FAS juga menggunakan sistem QR Code bagi sesiapa yang membeli tiket di atas talian serta pemegang tiket bemusim sekaligus memudahkan peminat untuk membeli tiket kerana tidak lahi perlu beratur.

Ternyata perubahan yang dibawa oleh FAS dalam masa setahun ini melalui infrastruktur dan kemudahan sangatlah menakjubkan.

Semoga FAS akan terus maju dan lebih terkehadapan dalam segala aspek selepas ini dan kembali menjadi gergasi bola sepak bukan sekadar di Malaysia, malah di Asia.

 

INI HANYALAH PERMULAAN.