Penaja Rasmi FA Selangor 2019: ASIANA.MY

Penaja Rasmi FA Selangor 2019: ASIANA.MY

FA Selangor hari ini terus menerima sokongan untuk musim 2019 apabila All Sports Images And News Agency (ASIANA) agensi berita dan fotografi swasta yang lebih dikenali dengan jenama ASIANA.MY sah menjadi ahli keluarga terbaru penaja-penaja FA Selangor.

Hasil daripada perjanjian ini, ASIANA.MY akan menjadi Jurufoto Rasmi yang akan membuat liputan aktiviti yang berlaku sekitar pasukan FA Selangor pada tahun 2019 dan 2020.

ASIANA.MY adalah sebuah agensi yang telah diasaskan bermula hasil cetusan gerak kerja oleh Kamarul Akhir atau lebih dikenali sebagai KA, bersama dengan Siti Rafidah Sabihim.

KA yang mempunyai pengalaman lebih 23 tahun dalam industri media pernah berkhidmat sebagai jurugambar akhbar The Sun,  Agency France Presse @ AFP dan Xinhua News Agency di Malaysia.

Ketika ditanya, KA sempat berkongsi hasrat dan matlamat beliau melalui kerjasama ini. “Semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah, saya pernah menjadi pelatih pasukan bolasepak Piala Razak Selangor tetapi saingan posisi penjaga gol terlalu sengit membuatkan saya tidak berjaya terpilih ke skuad utama. Sebagai anak Selangor, ini adalah salah satu usaha saya untuk menyumbang kembali hasil  seni fotografi dan berkongsi keindahan bola sepak kepada pasukan ini dan penyokong Selangor.”

Terkenal dengan  kepakaran yang khusus dalam bidang penulisan, fotografi sukan, videografi dan memiliki sistem arkib foto yang berkualiti, canggih dengan rantaian penyampaian yang rapi dan tersusun, ASIANA.MY adalah rakan penaja yang bakal memberikan kualiti dan nafas baru dalam penyampaian media pasukan Selangor.

ASIANA.MY merupakan agensi fotografi sukan terbesar di Malaysia telah banyak terlibat dalam acara-acara anjuran Asian Football Confederation (AFC), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Dalam masa yang sama, ASIANA.MY juga pernah dilantik sebagai Jurufoto Rasmi acara Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 & Sukan Para ASEAN ke-2017,  Sukan Asia & Para Asia 2018 di Jakarta & Palembang dan banyak lagi acara sukan tempatan dan antarabangsa.

Sebagai agensi berita dan foto yang berpengalaman, ASIANA.MY mempunyai reputasi yang tinggi di dalam industri setelah bekerjasama rapat dengan agensi media tempatan di Malaysia dan negara Asia.

Hasil kerja fotografi ASIANA.MY sering diterbitkan dalam penerbitan tempatan seperti akhbar harian, papan iklan, majalah sukan, portal sukan dalam talian dan banyak lagi.

Sekali lagi kami ingin mengucapkan selamat datang kepada ASIANA.MY  dan semoga kerjasama ini akan memberikan sesuatu impak yang positif kepada kedua-dua pihak dan industri bola sepak tanah air seluruhnya.