Penaja Rasmi FA Selangor 2019: ATF Sport Taping

Penaja Rasmi FA Selangor 2019: ATF Sport Taping

FA Selangor sekali lagi menerima suntikan positif hari ini untuk musim bola sepak Malaysia tahun 2019 apabila ATF SPORT TAPING sah menjadi tambahan terbaru kepada senarai penaja-penaja FA Selangor.

Hasil daripada perjanjian ini, ATF SPORT TAPING akan membekalkan pita sukan kepada semua pemain-pemain pasukan FA Selangor.

Azmir Zed, pengasas ATF SPORT TAPING berkata, “Kami telahpun menceburi arena bola sepak tahun lalu hasil kerjasama kami dengan pasukan bola sepak yang lain, tetapi dengan kerjasama kami tahun ini dengan FA Selangor, sudah pasti peminat-peminat bola sepak negara akan mengenali ATF SPORT TAPING! Kami sangat bersyukur atas kesudian FA Selangor untuk bekerjasama dengan kami dan kami berharap untuk menjalin hubungan yang akan memanfaatkan semua pihak melalui kerjasama ini!”

Dr Johan Kamal Hamidon, Setiausaha Agung FA Selangor juga tidak kurang teruja apabila beliau berkata, “Jalinan kerjasama dengan ATF SPORT TAPING sebagai rakan penaja kami adalah bukti usaha kami untuk membawa balik zaman kegemilangan Selangor di mana sector korporat dan rakan-rakan penaja teknikal ingin menjadi sebahagian daripada pasukan kami. Kami sangat yaking yang ATF SPORT TAPING akan membekalkan produk yang paling berkualiti kepada pasukan-pasukan kami dan juga peminat-peminat Red Giants di luar sana. Peminat-peminat juga bakal boleh mendapatkan pita sukan eksklusif Red Giants daripada ATF SPORTS TAPING pada masa terdekat.’’

ATF SPORT TAPING adalah hasil titik peluh pemain ragbi negara, Azmir Zed dengan niat beliau untuk memberi akses kepada pita sukan kualiti terbaik pada harga yang berpatutan. Sebagai seorang atlet peringkat antarabangsa, beliau sedar akan keperluan pita sukan jenama tempatan dalam pasaran Malaysia untuk memenuhi keperluan industri sukan di Malaysia.

Setelah menjalankan penyelidikan yang teliti, beliau mengasaskan ATF SPORT TAPING pada tahun 2016. Hari ini, pita sukan jenama ATF dijual dan diedar dalam jumlah yang besar di Malaysia dan luar negara. ATF berharap untuk mengembangkan lagi perniagaan dan jenama mereka pada tahun 2019 dan mereka amat yakin bahawa kerjasama Bersama FA Selangor mampu membantu mereka untuk mencapai matlamat tersebut!

Jalinan kerjasama ini juga akan melihat penjenamaan ATF SPORT TAPING di platform komunikasi digital FAS, di dalam stadium, dan juga di tempat latihan pasukan.