Bukan malam Selangor

Bukan malam Selangor

SHAH ALAM- Naib Juara Piala FA 2018, Selangor terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 menentang Felda United di Stadium Shah Alam semalam sekaligus menyaksikan Selangor tersingkir dari saingan Shopee Piala FA 2019.

Untuk perlawanan kali ini terdapat beberapa perubahan dilakukan oleh ketua jurulatih, B Satiananthan dengan memasukkan Fandi Othman serta Syazwan Zainon bagi menggantikan K. Prabakaran serta Nurridzuan Abu Hassan.

Gambar oleh: Asiana.my

Perlawanan dimulakan dengan Selangor melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Felda dalam usaha untuk mencari gol awal.

Beberapa peluang keemasan berjaya diraih oleh Selangor untuk membuka jaringan namun gagal disempurnakan jentera penyerang.

Gambar oleh: Asiana.my

Masuk babak kedua, Syahmi Safari berjaya menggembirakan kem Selangor selepas rembatan leret beliau gagal diselamatkan penjaga gol Felda, Norazlan Razali pada minit ke-55.

Namun Felda berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-64 melalui tandukan Thiago Junio.

Tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut, Selangor menggandakan serangan untuk mencari jaringan kemenangan namun barisan pertahanan Felda sukar untuk ditembusi.

Gambar oleh: Asiana.my

Sebaliknya pada minit-minit akhir, Felda United berjaya menjaringkan gol kemenangan melalui larian solo Hadin Azman.

Kekalahan kali ini menyaksikan Selangor gagal untuk meneruskan rentak kemenangan.

Semoga Selangor kembali bangkit mencatat kemenangan dalam perlawanan akan datang.