Jelajah Pramusim Thailand: Chonburi FC v Selangor

Jelajah Pramusim Thailand: Chonburi FC v Selangor

Gambar oleh Asiana.my

Setelah mendapat kemenangan pertama dalam siri jelajah perlawanan pramusim ke Thailand dengan menewaskan pasukan MOF Customs United dengan jaringan 3-0 kelmarin, Selangor pada hari ini berkunjung ke Chonburi FC pula untuk perlawanan kedua dalam siri jelajah pramusim sebelum bermulanya musim liga bolasepak Malaysia pada bulan Februari ini.

Untuk perlawanan kedua, Jurulatih B.Satiananthan memulakan perlawanan dengan membuat beberapa pertukaran dengan menurunkan Muhammad Aqil Fadhly menggantikan Khairulazhan Mohd sebagai penjaga gol.

Michal Nguyen pula dikekalkan bersama Taylor Regan di pertahanan tengah. Syahmi Safari pula direhatkan dan digantikan dengan Namathevan Arunasalam di pertahanan kanan dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan menggantikan K.Prabakaran di pertahanan kiri.

B.Sathiananthan juga membuat sedikit perubahan di bahagian tengah dengan menurunkan Mohd.Norhakim Isa digandingkan dengan Sarkunan Krishnasamy manakala Faiz Nasir pula bermain ditengah di belakang barisan penyerang. Rufino Segovia pula dikekalkan seberang penyerang utama manakala Antonio German disebelah kanan dan Mohd.Syazwan Zainon di sebelah kiri.   

Sebaik sahaja wisel permainan dibunyikan, Chonburi terlebih dahulu selesa mengawal penguasaan padang. Percubaan pertama mereka muncul pada minit ke-3 perlawanan namun tepat ke dakapan penjaga gol muda Selangor Aqil Fadhly.

Seminit selepas itu giliran Selangor pula membuat percubaan selepas tandukan Rufion Segovia mudah ditangkap penjaga gol Chonburi.

Gambar oleh Asiana.my

Chonburi sekali lagi mendapat peluang keemasan selepas Namathevan gagal menjaga pemain sayap Chonburi dengan baik dan satu tendangan deras berjaya dilakukan namun kecekapan Aqil Fadhly menafikan percubaan tersebut.

Pada minit ke-17, peluang berjaya diraih oleh Rufino namun percubaan half volley beliau tersasar ke sebelah kanan pintu gol Chonburi.

Peluang keemasan buat Selangor sekali lagi muncul pada minit ke-20 melalui percubaan Antonio German namun gagal gagal menemui jaring.

Selangor berjaya menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke-23 selepas lorongan cantik Rufino Berjaya menewaskan dua pemain pertahanan Chonburi dan menemui Faiz Nasir yang selepas itu mudah menewaskan penjaga gol Chonburi.

Selangor berpeluang menggandakan kedudukan pada minit ke-30 namun sepakan percuma Rufino sekadar menggegar palang.

Chonburi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-39 selepas pemain tengah mereka Sitichok Paso melepaskan satu rembatan namun ianya sekadar melewati palang.

Masuk babak kedua, Selangor membuat beberapa pertukaran dengan Wan Zack Haikal, Azrien Zulkafali dimasukkan untuk menggantikan Taylor Regan serta Namatevhan.

Chonburi pula mengeluarkan hampir kesemua pemain mereka dengan dan hanya 2 pemain dikekalkan.

Tidak lama selepas itu, giliran Ashmawi Yakin dibawa masuk menggantikan Michal Nguyen dan juga lagenda Selangor iaitu Amri Yahyah juga dibawa masuk menggantikan Syazwan Zainon.

Nurridzuan Abu Hassan juga dibawa keluar 5 minit selepas separuh masa kedua bermula dan K. Kannan dibawa masuk.

Peluang pertama bagi babak kedua untuk Selangor hadir pada minit ke- 68 permainan selepas Sean Selvaraj bijak melepasi barisan pertahanan Choburi namun percubaan beliau ditepis oleh penjaga gol.

Beberapa peluang juga berjaya diperolehi Chonburi namun kekebalan benteng pertahanan Selangor ditambah pula ketumpulan penyerang lawan menyaksikan mereka masih lagi gagal mencari jaringan.

Gambar oleh Asiana.my

Pada minit ke-80, giliran Farizal Harun pula menjadi hero selepas beliau dengan cemerlang menepis percubaan jarak dekat penyerang berbisa Chonburi iaitu Chris Corterz untuk memastikan Selangor kekal dihadapan.

Sekali lagi pada minit ke-85 Farizal Berjaya menghalang Chonburi untuk menyamakan kedudukan selepas beliau menangkap kemas sepakan padu Worachit.

Chonburi akhirnya berjaya menyamakan kedudukan di minit-minit terakhir perlawanan selepas mudah melepasi bahagian pertahanan kiri dan melepaskan rembatan leret menewaskan Farizal Harun sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 1-1.

Pasukan Selangor akan mengakhiri siri jelajah Thailand dengan perlawanan ketiga dan terakhir bertemu Thai Honda FC pada 17hb Januari pada pukul 6 petang.