Dendam terbalas

Dendam terbalas

SHAH ALAM- Misi skuad Red Giants membalas dendam terhadap Sang Semut Merah menjadi kenyataan selepas Selangor berjaya menundukkan PKNS dengan keputusan 3-2 di Stadium Shah Alam semalam.

Dua jaringan daripada Ifedayo Olusegun dan satu daripada Sandro Da Silva berjaya memberikan tiga mata penuh buat Selangor.

Meskipun meraih kemenangan, PKNS terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-3 hasil sepakan percuma Romel Morales.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor menggandakan serangan dan berjaya meraih gol penyamaan pada minit ke-40 melalui rembatan kencang Sandro Da Silva.

Selangor berjaya menambah jaringan kali ini melalui tandukan Ifedayo Olusegun hasil umpanan cantik Khyril Muhymeen pada minit ke-44.

Masuk babak kedua, Selangor masih lagi menguasai permainan dan beberapa percubaan berjaya dihasilkan.

Ifedayo berjaya mencetak gol kedua beliau selepas mudah menolak masuk hantaran rakan sepasukan, Endrick Dos Santos untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-52.

Untuk rekod, ini merupakan jaringan ke-12 beliau daripada 11 perlawanan dan merupakan penjaring kedua terbanyak Liga Super 2019 selepas terikat bersama penyerang JDT, Diogo Santo.

PKNS cuba merapatkan jurang dan berjaya memperoleh gol kedua mereka pada minit ke-77 melalui tandukan Tamirlan Kozubaev.

Keputusan 3-2 kekal hingga tamat permainan dan Selangor berjaya menutup tirai Liga Super 2019 dengan kemenangan.

Kemenangan ini juga menyaksikan Selangor kini berada di tangga ketiga dengan 37 mata berjaya dikutip.

Kedudukan ini juga akan kekal sekiranya Kedah mencatat keputusan seri atau tewas kepada Felda United dalam pertemuan malam ini.