FA Selangor Memperkenalkan Sistem Tiket Berteknologi Baru

FA Selangor Memperkenalkan Sistem Tiket Berteknologi Baru

KENYATAAN MEDIA

FA SELANGOR MEMPERKENALKAN SISTEM TIKET BERTEKNOLOGI BARU

Persatuan Bolasepak Selangor sekali lagi terus mengorak langkah kehadapan dalam misi transformasi pasukan ini. Bagi memberikan nafas baru bukan sahaja kepada pasukan, malah kepada penyokong, FAS dengan jayanya memperkenalkan sistem pengurusan tiket yang baru yang mula beroperasi pada perlawanan pertama Unifi Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.

Sistem yang diperkenalkan ini mengalih semua transaksi dan pengurusan tiket perlawanan kepada platform online FAS serta operasi ini turut dilengkapi dengan teknologi imbasan kod QR bagi lebih memudahkan pengurusan jual beli tiket serta kawalan keluar masuk penyokong ke stadium.

Buat julung kalinya dan merupakan yang pertama sekali di Malaysia, hasil kerjasama FAS dan Ticket Hotline, operasi tiket ini turut membolehkan penyokong atau penonton yang membeli tiket untuk cetak serta merta kad akaun tiket mereka di pintu masuk stadium.

Ketika berucap kepada media, Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline, Dato Zairil berkata, “Kami sangat berbangga kerana diberi peluang untuk berkerjasama dan berkongsi pencapaian ini dengan FAS.”

“Ianya merupakan salah satu matlamat yang telah lama kami harap untuk direalisasikan. Kali ini, kami amat berbesar hati, kerana adanya pihak yang berfikiran kehadapan dan terbuka seperti pasukan pengurusan FAS yang baru ini, yang ingin bersama-sama membawa pengurusan tiket liga bola sepak di Malaysia ke tahap seterusnya bagi terus memajukan industri bola sepak tempatan.” ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama, sistem ini juga telah membantu mempercepatkan proses pengurusan tiket apabila ianya turut membolehkan pembeli yang membuat pembelian tiket secara online serta pemegang pas bermusim untuk hanya terus menggunakan Kod QR yang diterima semasa pembelian di pintu masuk stadium tanpa perlu membuat tuntutan tiket di mana-mana kaunter.

Penghargaan juga harus diberikan kepada Datuk Shahrizal, Exco FAS yang bertanggungjawab terhadap bahagian pengurusan tiket. Beliau yang merupakan pengemudi utama dan tulang belakang kepada cetusan dan pelaksanaan usaha ini sempat mengulas, “Antara salah satu matlamat dan objektif di bawah pihak pengurusan yang baru adalah betapa pentingnya untuk membendung penjualan tiket haram bagi memberikan matchday experience yang lebih baik kepada para penyokong.” Datuk Shahrizal.

Gambar oleh: Asiana.my

“Kita telah membuat kajian, melihat bagaimana kelab-kelab antarabangsa membanteras isu-isu sekitar pengurusan tiket perlawanan. Daripada situ, saya dan pasukan pengurusan yang baru, telah mengambil beberapa langkah dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baru agar kita dapat mengawal hal-hal sebegini dan memberikan yang terbaik kepada penyokong.” kata Datuk Shahrizal.

Tambahan lagi, beliau turut sempat berkongsi tentang beberapa pakej tiket yang diperkenalkan sebagai langkah untuk memberi lebih pilihan kepada para penyokong Red Giants.

Antaranya, tiket yang dijual secara online boleh didapati dengan harga serendah RM12, tidak termasuk caj transaksi online, bagi setiap pemegang Red Giants Team Card. Ini juga adalah satu langkah untuk mengajak lebih ramai penyokong dan penonton menggunakan kemudahan yang telah disediakan ini.

Penyokong juga mempunyai pilihan untuk membeli pas bermusim dengan harga serendah RM199 untuk Pas Bermusim Terbuka (Dewasa), RM79 untuk Pas Bermusim Kanak-Kanak dan RM399 untuk Pas Bermusim VIP yang dilengkapi dengan beberapa barangan rasmi FAS edisi terhad, berserta tiket sepanjang musim yang merangkumi 19 perlawanan tempat sendiri.

Setelah menerima permintaan yang memberangsangkan dan maklum balas daripada para penyokong, FAS kini diajak untuk menambah tiga (3) lagi pakej baru bagi pas bermusim FA Selangor 2019

Selain daripada Pas Bermusim Terbuka, Kanak-Kanak, dan VIP, terdapat juga Pas Bermusim Kanak-Kanak (Tiada Jersi), Terbuka (Tiada Jersi), Terbuka (Fan Issue) yang dijual pada harga yang lebih rendah, iaitu, RM49, RM109 dan RM149 mengikut turutan yang telah disebutkan.

Perbezaan di antara pakej pas bermusim yang baru diperkenalkan ini dengan pas bermusim yang sedia ada hanyalah pada jenis edisi jersi yang disertakan (edisi penyokong berbanding edisi pemain) sebagai salah satu barangan rasmi di dalam pakej pas bermusim itu, atau sama ada jersi tidak termasuk di dalam senarai barangan rasmi FAS yang datang bersama-sama pakej tersebut.

Tidak dapat dinafikan, harga pas bermusim yang diperkenalkan oleh FAS pada musim ini juga merupakan antara yang terendah jika dibandingkan dengan kelab-kelab bola sepak tempatan yang lain.

“Banyak perbincangan telah dibuat dan banyak idea telah diteliti di sebalik tabir dalam menjadikan usaha dan inisiatif baru ini satu realiti. Kami berharap, dengan permulaan yang baik ditunjukkan oleh FAS dalam usaha memajukan sistem pengurusan tiket ini, akan lebih ramai pasukan di luar sini yang mula mengorak langkah, melihat struktur operasi yang sama bagi memudahkan dan menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium.” tambah Datuk Shahrizal.

-TAMAT-

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Mohd Ridwuan Bin Mahamud

Eksekutif Kanan Media

Persatuan Bolasepak Selangor

Emel: media@faselangor.my

Telefon: +6017-2880840

Atau,

Melvyn Lim Han Yong

Pengurus Media & Cara

Persatuan Bolasepak Selangor

Emel: melvyn@faselangor.my

Telefon: +6016-5570380

 

Persatuan Bolasepak Selangor (0032/98)

Tingkat 1-28, Yayasan FAS Business Avenue,

SS7 Jalan Perbandaran,

47301 Kelana Jaya,

Selangor Darul Ehsan