Faiz ‘Messi’ Nasir Kini Gergasi Merah

Faiz ‘Messi’ Nasir Kini Gergasi Merah

Suka citanya diumumkan Faiz Nasir kini sah bergelar pemain Selangor FA bagi musim 2019.

Pemain bertubuh kecil yang laju ini terkenal dengan gol kaki kiri cantik beliau di pentas final Piala Malaysia tahun ini. Faiz yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, telah melengkapkan perpindahan dari Terengganu FC setelah menandatangani kontrak untuk bersama pasukan Selangor bagi musim hadapan.

Berusia 26 tahun, Faiz yang juga dikenali sebagai ‘Messi Malaysia’ adalah antara pemain yang mempunyai kualiti tersendiri. Corak permainan Faiz dilihat sangat berbeza dan telah banyak membantu pasukan-pasukan beliau sebelum ini dengan impak yang besar meskipun bertubuh kecil.

Faiz pernah beraksi untuk beberapa pasukan sepanjang karier beliau. Pasukan Kelantan, PBAPP, Felcra antara tempat beliau menimba pengalaman.

Meskipun demikian, bakat dan kebolehan beliau telah menyerlah dalam saingan Liga M ketika bersama dengan Terengganu FC. Untuk skuad Hitam Putih, Faiz telah tampil dalam lebih 20 perlawanan dan telah menjaringkan 6 gol untuk mereka.

Dilihat sebagai antara pemain muda yang berkualiti, Faiz bertekad untuk menjulang trofi dan kejuaraan bersama Selangor.

Kehadiran Faiz Nasir adalah bukti komitmen persatuan untuk menambahkan ketajaman bahagian serangan pasukan Selangor bagi menjulang kejuaraan musim hadapan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang ke wilayah Gergasi Merah dan semoga belaiu dapat bersama-sama menjadikan Selangor sebagai pasukan yang digeruni dan terus gemilang.

Hantarkan ucapan anda kepada Messi kita di sosial media dengan menggunakan #FaizNasirIsRed.