FAS Junior League bermula!

FAS Junior League bermula!

FAS Junior League 2019 merupakan satu inisiatif pembangunan untuk mencungkil bakat-bakat pemain-pemain muda terbaik di negeri Selangor. Usaha ini merupakan sebuah program elit hasil kerjasama Persatuan Bolasepak Selangor dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia, NFDP, serta Rakan Pembangunan bola sepak rasmi FAS, Westports Malaysia.

Objektif utama liga ini dijalankan adalah untuk memastikan bahawa bakat-bakat muda bola sepak di negeri Selangor dijumpai dan diberikan peluang untuk mencapai potensi sebenar mereka.

Selain itu, FAS Junior League ini turut membolehkan lebih ramai jurulatih serta pengurus pasukan pembangunan Selangor untuk memantau perkembangan pemain-pemain ini dengan lebih terperinci.

Dengan wujudnya liga akar umbi ini ini, bakat-bakat bola sepak di negeri Selangor akan diberikan peluang untuk bertanding dengan pemain-pemain setaraf mereka dalam liga yang kompetatif. Malah, ia juga menjadi platform untuk pemain-pemain ini mendapatkan masa bermain yang berkualiti selain boleh menimba pengalaman yang sangat berharga.

Walau bagaimanapun, untuk musim pertama ini, FAS Junior League akan bermula dengan kategori umur B14 dan B16 tahun yang bakal disertai oleh wakil pasukan daripada Akademi Tunas NFDP, wakil pasukan dari Pusat Latihan Daerah NFDP.

Selain itu, FAS merancang untuk mempertandingkan kategori-kategori umur B7, B8, B9, B10, B11 dan B12 tahun yang turut melibatkan kelab gabungan FAS yang bakal menjadikan FAS Junior League menjadi antara kejohanan liga terbesar di Lembah Kelang di masa hadapan.

Kejohanan FAS Junior League akan berlangsung selama 8 minggu bermula hari ini. Pasukan-pasukan yang bertanding pula akan bermain dalam format liga pada pusingan awal dan 4 pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan suku akhir.

Menurut Pengarah Urusan Westports Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam yang juga pemilik kelab bola sepak Inggeris Queens Park Rangers dan Los Angeles FC, inisiatif pembangunan bola sepak di peringkat kanak-kanak dan remaja di Selangor akan merancakkan lagi proses pencarian bakat seterusnya akan memperkuatkan pasukan utama Selangor di masa-masa akan datang. Westports akan terus bersama FAS untuk masa depan bola sepak yang lebih cemerlang.

Diharap dengan anjuran FAS Junior League ini, program pembangunan bola sepak akar umbi di Selangor akan lebih mantap serta hasil program ini boleh dilihat dalam masa yang terdekat.