FAS Umum Penganjuran Selangor Asia Challenge (SAC)

FAS Umum Penganjuran Selangor Asia Challenge (SAC)

SHAH ALAM- Demi memulakan langkah ke pentas Asia, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal melancarkan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020 yang bakal bermula 18 Januari ini.

Acara ini merupakan sebuah kejohanan pra-musim tahunan yang bakal melibatkan pasukan-pasukan terpilih daripada benua Asia yang bakal bermain di Stadium Shah Alam.

Sebagai permulaan, ia bakal melibatkan empat negara serantau; Thailand, Indonesia, Vietnam dan tuan rumah, Malaysia yang akan dikenali sebagai Edisi Asia Tenggara.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, antara objektif utama kejohanan ini diadakan adalah untuk mempamerkan aksi terbaik bola sepak Asia kepada peminat bola sepak di rantau ini.

“Selain daripada mempamerkan aksi bola sepak Asia, acara ini juga merupakan platform untuk pasukan Selangor bagi mempersiapkan diri bagi Liga Malaysia musim hadapan dan kejohanan Asia sekiranya kita layak kelak,” jelas Johan.

Juga, pengarah urusan ANF Logistics SDN BHD yang merupakan rakan penaja utama SAC, Meor Mohd Fadzlan, turut memberikan kenyataan beliau mengenai kejohanan pra-musim kali ini.

“Bola sepak sesuatu yang istimewa. Ia mampu menyatukan kita semua. Di bawah bimbingan RMS dan Dr. Johan, saya yakin visi dan hala tuju pasukan bolasepak ini akan menggegarkan dunia bola sepak. Hari ini Asia, esok Dunia,” ujarnya.

Selain ANF Logistics SDN BHD, antara pihak yang sudi menjadi penaja kejohanan ini adalah Astro yang dilantik sebagai rakan penyiar rasmi SAC manakala Fuel Athletics sebagai rakan strategik kecergasan.

Berlangsung selama dua hari, setiap pasukan hanya akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara. Untuk menambahkan kemeriahan kejohanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai USD10,000 dan naib juara membawa pulang USD5,000 selain piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor.

Kesemua perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam bermula jam 5.00 petang hingga 11.00 malam.

Selain daripada perlawanan bola sepak, Selangor Asia Challenge 2020 juga bakal dimeriahkan dengan Festival Kebudayaan Asia Tenggara di mana pelbagai aktiviti berasaskan kebudayaan dari pelbagai negara akan berlangsung di perkarangan Stadium Shah Alam.

Festival kebudayaan ini juga bakal melibatkan pameran sejarah bola sepak Selangor, pasar makanan ASEAN, pertandingan e-sukan serta zon mesra kanak-kanak.

Pas dua hari untuk menyaksikan kesemua perlawanan akan dijual bermula pertengahan bulan Disember dengan harga RM30.00 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) untuk kategori terbuka.

Bagi pemegang Team Card Red Giants 2020 pula, mereka boleh menikmati diskaun istimewa dan boleh mendapatkan pas tersebut dengan RM15.00 sahaja untuk kategori yang sama.

Diharapkan penganjuran acara ini bakal memberikan kesan positif kepada pasukan Selangor dan memberi lebih nilai tambah kepada jenama pasukan Selangor, selain mampu meningkatkan persefahaman antara pemain pada peringkat akhir sebelum musim baru bermula.

Ia dilihat mampu menjadi medium pendedahan untuk pemain-pemain Selangor beraksi menentang pasukan-pasukan terbaik di Asia.