Ifedayo lakar debut impian

Ifedayo lakar debut impian

SHAH ALAM- Pemain import terbaru Selangor, Ifedayo Olusegun berjaya meledak hatrik untuk membantu Selangor tundukkan Kedah 3-1 di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, Selangor yang dahagakan kemenangan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Kedah.

Peluang awal berjaya diperoleh Selangor pada minit ke-15 namun percubaan Syazwan Zainon sekadar menggegar tiang.

Namun pada minit ke-33, Ifedayo berjaya menjaringkan gol pertama beliau dalam debut bersama Selangor selepas mudah menanduk masuk hantaran sepakan percuma Sandro Da Silva.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selangor menggandakan lagi serangan dan berjaya memperoleh jaringan kedua selepas kesilapan dilakukan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal sekaligus disudahkan Ifedayo pada minit ke-44.

Masuk babak kedua, Ifedayo menambah derita Kedah selepas beliau menjaringkan hatrik pada minit ke-56.

Kedah cuba untuk bangkit dan merapatkan jurang pada minit ke-64 hasil tandukan Jonathan Bauman.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Kedah hampir memperoleh jaringan kedua namun percubaan jarak jauh Farhan Roslan terkena palang.

Farizal Harun sekali lagi menjadi penyelamat selepas menangkap kemas percubaan jarak dekat Fernando Ortega sekaligus perlawanan tamat dengan keputusan 3-1 memihak kepada Selangor.

Kemenangan ini juga menyaksikan Selangor berjaya memintas Kedah untuk berada di tempat ketiga dengan 21 mata.