KENALI PEMAIN SELANGOR: DEVESSHRAJA SATHIAHMOORTHY

KENALI PEMAIN SELANGOR: DEVESSHRAJA SATHIAHMOORTHY

Devesshraja a/l Sathiahmoorthy atau lebih mesra dikenali sebagai Raja, merupakan anak kelahiran Selangor berusia 17 tahun yang kini bermain untuk pasukan Belia Selangor.

Raja memulakan karier bola sepak beliau bermula pada tahun 2010. Di awal penglibatannya dalam arena bola sepak, beliau pernah mewakili Malaysia untuk Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN semasa berumur 14 tahun.

Pemain tengah skuad Belia Selangor ini juga pernah menyertai Program Latihan 1MCC-Astro Kem Bola di West Ham United, England.

“Saya berpeluang berlatih di West Ham United selama dua minggu sepanjang program tersebut dijalankan. Ia merupakan pengalaman terbaik sepanjang hidup saya,” ulas Raja.

“Selain itu, saya turut diberi peluang untuk menonton perlawanan di antara West Ham United menentang Arsenal dan sempat berjumpa dengan pemain-pemain West Ham United seperti Andy Carroll dan Sakho,” Raja berkongsikan kenangan manisnya sewaktu di sana.

(Gambar oleh: allianz.com.my)

Berbekalkan bakat dan potensi yang dimiliki, Raja berjaya memikat hati legenda Bayern FC dan jurulatih program Allianz Junior Football Camp (AJFC), Klaus Augenthaler dan diberi peluang menyertai AJFC di Munich, Jerman pada tahun 2017.

Untuk musim ini, Raja telah bermain untuk Akademi JDT sebelum menyertai Selangor. Beliau telah membuat penampilan sebanyak 11 perlawanan dan telah menjaringkan dua gol untuk skuad Belia Selangor.

Perjalanan indah dalam bola sepak yang dilalui pelajar SMK Bukit Tinggi ini mustahil tanpa sokongan padu daripada kedua ibu bapanya dan seorang jurulatih yang telah memperkenalkan erti bola sepak kepadanya, Encik Kumaravel.

“Bapa saya selalu menceritakan tentang pengalaman beliau bermain bola sepak dan cintanya terhadap sukan ini. Saya sering dibawa menonton perlawanan-perlawanan bola sepak sejak kecil lagi sehingga saya mula meminatinya secara mendalam,” tambah pemain muda yang memakai jersi bernombor 33 ini.

Raja memilih Indra Putra Mahayuddin, pemain bola sepak legenda Malaysia sebagai idola tempatannya dan pemain antarabangsa yang diminatinya adalah Neymar Jr.

Bakat muda Selangor ini ingin terus memperbaiki corak permainannya dan menaruh harapan untuk diberi peluang bermain bersama pasukan utama Red Giants. Beliau juga menyimpan hasrat untuk menjadi salah seorang legenda bola sepak Selangor.

Pada masa yang sama, Raja turut berhasrat untuk menyarung jersi kebangsaan dan bermain di kelab-kelab ternama di dunia suatu hari nanti.

FA Selangor mendoakan agar Devesshraja Sathiahmoorthy terus cemerlang dalam membantu skuad Belia Selangor mencipta kejayaan dan melakarkan sejarah baru pada masa akan datang.

Semoga berjaya Raja. Demi Selangor!