Kenali Pemain Selangor: K. Sarkunan

Kenali Pemain Selangor: K. Sarkunan

Sarkunan, pemain berjersi nombor 16 pasukan Selangor ini yang juga dikenali sebagai ‘Kante’ dalam pasukan Red Giants adalah merupakan anak kelahiran jati Selangor dan berusia 22 tahun.

Sarkunan Krishnasamy memulakan karier bola sepak beliau bersama skuad belia Selangor sebelum diserap masuk ke skuad utama pada Disember 2016.

Pemain tengah ini membuat debut pertama beliau untuk skuad senior Red Giants pada 28 Oktober 2017 sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Pulau Pinang yang menyaksikan Selangor berjaya mengatasi Harimau Kumbang dengan keputusan 3 – 1.

Sara mula lebih aktif menyarung jersi merah kuning bermula musim 2018 yang lepas setelah dilihat sebagai salah seorang pemain muda yang telah memberi nafas baru kepada jentera tengah pasukan Selangor.

Tampil dalam 10 perlawanan untuk Gergasi Merah musim lalu, Sarkunan turut berjaya mengukir 1 gol atas nama beliau.

Jolokan Kante di dalam pasukan ini diberikan kepada beliau kerana telah kerap memperlihatkan bahawa walaupun kedudukannya yang kecil, Sarkunan mempunyai work rate yang sangat tinggi di dalam padang yang banyak menutup ruang pemain lawan serta dilengkapi dengan teknik kawalan bola tersendiri yang mampu memberi saingan terhadap pemain yang lebih berpengalaman daripada beliau.

Pernah bercakap kepada pihak media tentang peluang yang diberikan kepada beliau bersama skuad senior, Sarkunan berkata, “Kami lebih bermotivasi dengan kesempatan yang diberikan kepada kami orang muda untuk membuktikan diri. Saya baru sahaja bermain beberapa minit baru-baru ini, jadi saya mahu melakukan yang terbaik.”

“Pemain muda yang lain juga telah bermain dengan baik, semakin hari mereka terus bertambah baik, jadi kami mahu memenangi perlawanan seterusnya,” ujar pemain tengah itu.

“Saya sekarang ingin lebih banyak bekerja untuk meningkatkan kualiti hantaran saya, set piece, serta hantaran bola panjang saya,” kata Sarkunan.