Kronologi Kongres Luar Biasa (EGM)

Kronologi Kongres Luar Biasa (EGM)

1 Oktober 2018

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah menerima 67 pucuk surat yang bertulis daripada ahli gabungan FAS yang meminta supaya Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan.

Selain daripada 67 surat yang diterima, terdapat juga satu surat berasingan yang dikemukakan oleh Roslin Shariff (Frenz United) yang menyatakan sebab-sebab untuk EGM itu perlu diadakan.

Kongres perlu diadakan dalam masa 30 hari dari tarikh permintaan tersebut dikemukakan dan agenda ataupun notis perlu dikeluarkan 14 hari sebelum EGM tersebut. Sekiranya kongres itu tidak berlaku pada tarikh yang telah ditetapkan, maka ahli yang meminta boleh menganjurkan sesuatu kongres itu dengan sendiri.

14 Oktober 2018

Kami (FAS) telah menerima 17 penarikan balik dan juga 5 pembatalan permintaan. Pembatalan yang berlaku untuk 5 yang disebutkan itu adalah disebabkan oleh beberapa sebab, antaranya ialah; kelab itu adalah didapati tidak aktif, atau penandatangan telah diisytiharkan bankrap, atau tandatangan yang diberikan adalah palsu, atau tandatangan bukan dari penandatangan rasmi kelab.

Secara keseluruhannya, FAS telah menerima 22 pembatalan dan penarikan balik permintaan untuk mengadakan EGM tersebut.

FAS seterusnya telah menulis kepada Pesuruhjaya Sukan dan mengemukakan bukti-bukti bagi menyatakan sebab mengapa pembatalan dan penarikan itu telah berlaku.

Daripada 67 permintaan bertulis ahli gabungan yang diterima FAS, hanya tinggal 45 permintaan bertulis yang boleh diteliti pada masa ini.

Berdasarkan jumlah ini, peratusan yang membuat permintaan bertulis untuk mengadakan EGM tersebut adalah 47.3%, iaitu satu jumlah peratusan yang tidak mencukupi korum.

Maka pihak yang ingin mengadakan EGM telah gagal untuk memenuhi syarat bagi mengadakan kongres berdasarkan statut FAS Artikel 30-1b, di mana menyebut EGM boleh diadakan jika mendapat permintaan bertulis sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan ahli gabungan.

Perkara ini turut telah dibangkitkan kepada Pesuruhjaya Sukan dan tarikh ini juga adalah penanda 14 hari selepas pihak FAS menerima permintaan pertama.

15 Oktober 2018

FAS telah menerima maklum balas daripada Pesuruhjaya Sukan yang menyatakan bahawa pihak Pesuruhjaya Sukan mengiktiraf bukti berkenaan mengapa EGM itu tidak boleh diadakan dan turut memaklumkan bahawa mereka akan terus menyiasat bukti-bukti yang dikemukakan dengan lebih lanjut.

Kami (FAS) juga telah menghantar sepucuk surat kepada FAM dan semua ahli gabungan FAS untuk memberitahu dan melaporkan situasi semasa serta bagi memaklumkan tentang komunikasi kami dengan Pesuruhjaya Sukan.

Di dalam kenyataan yang sama, kami juga telah menyebut bahawa EGM ini tidak sah kerana tidak memenuhi syarat minimum korum permintaan bertulis yang termaktub di dalam statut FAS.

Kami (FAS) turut menghantar surat kepada semua ahli gabungan bagi menyatakan tentang status EGM tersebut yang tidak mencukupi korum permintaan bertulis dan tidak mendapat sokongan majoriti.

18 Oktober 2018

FAS melalui Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 45 ahli gabungan yang tidak menarik balik permintaan tersebut dan dalam surat yang sama kami (FAS) telah menyatakan beberapa perkara seperti:

  1. FAS meminta ahli gabungan tersebut memberi sebab untuk EGM itu diadakan meskipun penjelasan dari Tuanku Presiden telah diberikan berkenaan isu yang dibangkitkan.
  2. FAS juga telah memperjelaskan di dalam surat yang sama, bukti kepada semua ahli gabungan tentang keahlian Dr. Johan dan Izhar Moslim yang telah menjadi ahli gabungan FAS sebelum dilantik sebagai naib presiden lagi, bukanlah seperti yang didakwa pihak tertentu.
  3. FAS turut memberitahu bahawa perkara-perkara yang sedang mereka lakukan itu turut melanggar Code of Conduct FIFA dan AFC dalam menggugat keharmonian persatuan.

Selepas mengemukakan surat tunjuk sebab ini, antara 19 hingga 24 Oktober, kami (FAS) telah menerima sejumlah 35 penarikan balik permintaan bertulis oleh ahli gabungan daripada jumlah asal (67)  yang diterima pada 1 Oktober 2018.

Jadi pada masa ini, jumlah penarikan balik dan permintaan yang tidak layak, termasuk 22 pembatalan yang telah dijelaskan pada 14 Oktober, adalah berjumlah 57 kesemuanya dan hanya tinggal 10 yang masih belum menarik balik permintaan bertulis tersebut.

Maka dengan ini, mereka gagal untuk mencapai korum permintaan bertulis untuk mengadakan EGM tersebut berdasarkan statut FAS Artikel 30-1b.

22 Oktober 2018

FAS menerima surat daripada Roslin Shariff yang memberitahu bahawa mereka masih ingin menganjurkan EGM tersebut pada 8 November.

25 Oktober 2018

FAS telah membalas surat Roslin Shariff yang tetap ingin menganjurkan EGM tersebut dengan menyatakan bahawa ianya tidak sah kerana tidak memenuhi Artikel 30–1b dengan 10 sahaja permintaan bertulis ahli gabungan untuk mengadakan EGM itu.

Surat yang sama juga telah dikongsikan bersama FAM dan Pesuruhjaya Sukan.

25 Oktober 2018

Exco telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif yang ke-8 dan telah sebulat suara menerima kemasukan 26 ahli gabungan baru mengikut statut FAS Artikel 12, iaitu melalui prosedur dan proses yang betul. Kemasukan 26 ahli baru ini telah membawa kepada jumlah ahli gabungan yang baru iaitu sebanyak 121 ahli.

Di sini perlu diterangkan beberapa perkara:

  1. Dan Artikel 37-4 menyatakan bahawa keputusan yang diambil jawatankuasa eksekutif hendaklah berkuatkuasa serta merta, melainkan jawatankuasa eksekutif memutuskan sebaliknya.
  2. Berdasarkan statut FAS Artikel 13-3,  kemasukan ahli baru hendaklah memperoleh hak dan tugas keahliannya sebaik sahaja ia diterima menjadi ahli. Wakilnya layak untuk mengundi, layak dipilih dan ianya berkuatkuasa serta merta.
  3. Artikel 14-1a pula menyatakan bahawa ahli persatuan mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam kongres bola sepak Selangor, untuk mengetahui agendanya terlebih dahulu, untuk dipanggil ke kongres berdasarkan tempoh yang ditetapkan, dan untuk menjalankan hak mengundi mereka.

Dengan ini, sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif ke-8 pada 25 Oktober, jumlah ahli gabungan FAS secara rasmi adalah 121 dan kesemua 121 ahli mempunyai hak-hak seperti yang telah disebutkan.

26 Oktober 2018

FAS melalui Setiausaha Agung telah mengeluarkan memo kepada semua 121 ahli gabungan bagi menyatakan keputusan-keputusan yang telah diambil semasa mesyuarat jawatankuasa eksekutif ke-8 termasuklah memaklumkan tentang kemasukan 26 ahli yang baru.

FAS juga telah menghantar surat dan bukti-bukti yang berkaitan kepada Pesuruhjaya Sukan dan FAM untuk memaklumkan berkenaan 35 penarikan baru tersebut.

7 November 2018

Sebuah mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Sukan telah diadakan dan ianya turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada FAS, wakil-wakil daripada FAM dan juga Roslin Shariff, bagi membincangkan tentang perkara yang sedang berlaku.

Kedua-dua belah pihak mengemukakan hujah dan cadangan masing-masing dalam perbincangan tersebut dan akhirnya, jelas bahawa Roslin Shariff gagal menunjukkan sebarang bukti yang beliau mempunyai korum permintaan bertulis bagi menganjurkan EGM itu.

Manakala, dalam masa yang sama, Pesuruhjaya Sukan dan FAM telah menerima segala bukti-bukti dari pihak FAS serta surat-surat penarikan balik daripada 57 ahli gabungan.

Kesimpulannya, jelas Roslin Shariff tidak mempunyai korum permintaan bertulis untuk mengadakan EGM tersebut kerana beliau gagal menunjukkan sebarang bukti dan FAS sebaliknya pula telah menghantar bukti-bukti berkaitan kepada Pesuruhjaya Sukan dan FAM.

Pada akhir perjumpaan tersebut, Pesuruhjaya Sukan turut menasihati Roslin Shariff untuk lebih berhati-hati jika ingin meneruskan juga dengan EGM yang diperkatakan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini memandangkan permintaan tersebut jelas bercanggah dengan statut FAS.

8 November 2018

Roslin Shariff tetap meneruskan mesyuarat yang kononnya EGM tersebut di Hotel Nouvelle pada jam 8 malam, dan pihak kami (FAS) telah mendapat laporan berdasarkan sidang akhbar yang dijalankan oleh kumpulan tersebut bahawa mereka mempunyai 52 ahli.

Mereka kononnya telah memperolehi majoriti walhal jika hendak dikira bilangan tersebut, ianya cuma 52 daripada 121 jumlah keseluruhan ahli gabungan, iaitu 42.9% sahaja.

Ini jelas bahawa mesyuarat yang kononnnya EGM yang mereka jalankan tidak sah dan tidak teratur mengikut prosedur FAS kerana:

  1. Permintaan bertulis hanyalah daripada 10 ahli gabungan dan ini jelas tidak mencapai korum yang secukupnya.
  2. Bilangan ahli gabungan yang hadir hanyalah 52 daripada 121 jumlah keseluruhan ahli gabungan iaitu bersamaan dengan 42.9% sahaja.

Dengan ini, ianya jelas bahawa mesyuarat tersebut tidak sah kerana tidak mencapai korum yang telah ditetapkan di dalam Artikel 13-1b dan 67-1 statut FAS.

Oleh sebab yang demikian, Tuanku Raja Muda Selangor, bersama Exco FAS tetap terus bertegas bahawa mesyuarat yang kononnya EGM yang dijalankan mereka itu adalah tidak sah termasuklah sebarang pelantikan dan keputusan yang diputuskan semasa mesyuarat yang kononnya EGM tersebut.