Lembah Klang Kekal Merah

Lembah Klang Kekal Merah

SHAH ALAM- Penamat yang penuh drama dilakar Selangor selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur dengan keputusan 2-1 apabila Sandro Da Silva berjaya menjaringkan gol pada minit akhir di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Perlawanan bermula dengan penuh aksi apabila Selangor melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan pasukan Kuala Lumpur.

Pada minit ke-28, Selangor berpeluang untuk membuka jaringan apabila umpanan Khyril Muhymeen disambut baik Amri Yahyah namun percubaan beliau ditangkap kemas penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli.

(Gambar: Asiana.my)

Kuala Lumpur hampir mengejutkan Selangor melalui percubaan Azmi Muslim tetapi berjaya ditepis Khairulazhan Khalid pada minit ke-36.

Seminit kemudian, Selangor berjaya memperoleh gol pertama selepas lorongan Endrick Dos Santos berjaya disudahkan dengan baik Ifedayo Olusegun.

Masuk babak kedua, Selangor berjaya memperoleh beberapa peluang namun gagal disudahkan dengan baik.

Sebaliknya, Kuala Lumpur memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-59 melalui sepakan penalti yang disudahkan penyerang berbisa mereka, Guilherme De Paula.

Endrick Dos Santos yang bermain dengan baik pada malam ini hampir meletakkan Selangor di hadapan tetapi sepakan beliau sekadar menggegarkan palang pada minit ke-63.

Akhirnya, peluang yang dinantikan oleh Selangor berjaya diperoleh apabila pemain gantian, Sean Selvaraj dijatuhkan di dalam kotak penalti dan pengadil tanpa ragu-ragu memberikan sepakan penalti kepada Selangor.

(Gambar: Asiana.my)

Sandro Da Silva yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Sharbinee sekaligus memberikan kemenangan buat Selangor.

Keputusan ini juga menyaksikan Selangor berjaya naik ke tangga ketiga liga dengan 25 mata berjaya dikutip.