Liga Super Malaysia 2019: Selangor pula seri dengan Perak

Liga Super Malaysia 2019: Selangor pula seri dengan Perak

Meskipun bermain dengan 10 pemain pada babak kedua, Selangor berjaya mengikat pasukan Perak dengan keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super 2019 minggu ke-9 di Stadium Shah Alam semalam.

Sebaik sahaja wisel dibunyikan, kedua-dua pasukan melancarkan serangan untuk mendapatkan jaringan awal.

Kubu pertahanan Selangor terlebih dahulu diuji pada minit ke-3 melalui tandukan Leandro Dos Santos Oliveira hasil sepakan percuma Nazirul Naim Che Hashim namun berjaya diselamatkan Farizal Harun.

Pada minit ke-21, Nurridzuan Abu Hassan berjaya melepaskan rembatan jarak jauh dan dinafikan Hafizul Hakim.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selang seminit, percubaan Amri Yahyah hampir memerangkap Hafizul namun rembatan tersebut sedikit tersasar.

Peluang keemasan Selangor untuk menjaringkan gol pertama muncul pada minit ke-24 apabila Syahmi Safari bijak memperdaya dua pertahanan Perak namun rembatan beliau dinafikan sekali lagi oleh Hafizul yang beraksi cemerlang.

Sejurus kemudian, Sandro da Silva Mendonca hampir meletakkan Selangor dihadapan namun sepakan percuma beliau terkena tiang gol Perak.

Perak terlebih dahulu membuka jaringan selepas Nor Hakim Hassan menolak masuk hantaran Sharel Fikri pada minit ke-35.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Namun kelebihan itu tidak kekal lama selepas Sandro kali ini berjaya menewaskan Hafizul melalui sepakan percuma yang cantik pada minit ke-39.

Masuk babak kedua, Selangor dipaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Nurridzuan diarahkan keluar padang pada minit ke-57 selepas menerima kad kuning kedua.

Meskipun kekurangan seorang pemain, Selangor bermain cemerlang dan berjaya menyerap asakan pasukan Perak.

Kedua-dua pasukan akur dengan keputusan 1-1 dan berkongsi satu mata di Shah Alam.

Keputusan ini menyaksikan pasukan Selangor naik satu anak tangga dan berada di kedudukan keempat liga.