Liga Super Malaysia 2019: Selangor v Terengganu FC

Liga Super Malaysia 2019: Selangor v Terengganu FC

Pasukan Selangor berjaya meraih kemenangan sulung di Stadium Shah Alam malam tadi apabila menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 1-0.

Kemenangan itu hasil daripada jaringan pertama Faiz Nasir untuk skuad gergasi merah, selepas dia turut menjaringkan gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan minggu lalu.

Kemenangan ini sekaligus melonjakkan kedudukan pasukan Selangor ke tangga ketujuh carta Liga Super.

B. Satiananthan menggunakan formasi 4-3-3 untuk kesebelasan utamanya di mana tiga pertukaran berlaku bagi menggantikan pemain-pemain yang mengalami kecederaan.

Nurridzuan Abu Hassan, Rufino Segovia dan Syahmi Safari masing-masing digantikan oleh K. Prabakaran, Amri Yahyah dan Azreen Zulkafali.

Babak pertama menyaksikan Terengganu mengawal rentak perlawanan.

Pelawat menguji benteng Selangor seawal minit ketiga perlawanan menerusi percubaan Lee Tuck yang dinafikan Farizal Harun.

Selangor cuba untuk membalas dengan larian bahaya Faiz Nasir yang mampu mencipta peluang untuk Endrick, namun cubaan Endrick melewati palang gol.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selangor terpaksa membuat pertukaran pemain seawal minit ke-18 apabila Endrick dikeluarkan selepas mengalami kecederaan.

Babak pertama jelas dikawal oleh Terengganu, tetapi percubaan mereka di minit ke-25 dan minit ke-30 tidak menepati sasaran.

Pada minit ke-34, Selangor mendapat peluang terbaik sepanjang separuh masa pertama apabila Amri Yahyah berjaya menjumpai Faiz Nasir dengan hantaran through ball tetapi Igor Zonjic berjaya menghalang sepakan Faiz Nasir.

Pasukan Selangor kelihatan bangkit di separuh masa kedua apabila lebih mengawal tempo permainan dan kerap mengasak benteng Terengganu.

Terengganu hampir mendapat jaringan pertama perlawanan apabila sepakan Ashari Samsudin terkena palang gol pada minit ke-50.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Tersentak dengan percubaan itu, Selangor bangkit melakukan gerakan apabila umpanan Halim Saari tepat mencari K. Prabakaran yang membuat hantaran lintang lalu disudahkan oleh Faiz Nasir.

Selangor yang seolah-olah diberi suntikan semangat selepas menjaringkan gol itu hampir menjaringkan gol kedua perlawanan melalui gerakan yang hampir serupa dengan gol pertama.

Namun, gerakan pada minit ke-58 itu dihalang oleh pemain pertahanan lawan.

Gabungan K. Prabakaran dan Faiz Nasir sekali lagi mencabar gawang gol Terengganu, tetapi kali ini Suffian Abdul Rahman cemerlang menghalang cubaan Faiz Nasir.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Terengganu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-85 melalui tandukan jarak dekat Nasrullah Haniff tetapi tandukan itu tersasar.

Pada minit-minit akhir perlawanan, Terengganu mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan tetapi Farizal Harun sekali lagi muncul penyelamat apabila cubaan jarak dekat Tchetche Kipre berjaya dinafikan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Semoga Selangor mampu mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang.