Liga Super : Selangor v Felda United

Liga Super : Selangor v Felda United

Hari ini telah berlangsung perlawanan pertama Liga Super buat pasukan Selangor menentang Felda United di Stadium Shah Alam. Dengan keadaan cuaca yang redup dan sedikit hujan namun dapat dilihat lebih daripada 10,000 penyokong membanjiri stadium.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam ini menyaksikan Selangor menurunkan kesebelasan utama iaitu Khairulazhan, Taylor Ragen, Prabakaran, Azreen, Michal Nguyen, Halim Saari, Faiz Nasir, Endrick Parafita, Rufino Segovia, Antonio German dan Amri Yahyah.

Perlawanan ini dimulakan dengan penganugerahan kepada Abang Man yang telah berkhidmat selama 27 tahun bersama Selangor dan turut dihadiri dan disaksikan oleh Tuanku Presiden, Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah.

Pada awal perlawanan beberapa percubaan dilakukan oleh Amri Yahyah, Rufino Segovia dan Prabakaran namun tidak berjaya melewati pintu gawang Felda United.

Gambar oleh: Asiana.my

Selangor dihadiahkan dengan gol sulung dalam perlawanan Liga Super oleh Antonio German pada minit ke 41. Sejurus itu, separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0.

Jam 10:11pm bermula separuh masa kedua (2), Selangor dilihat mengasak kubu Felda United dan beberapa kali Selangor berjaya menewaskan pemain pertahanan Felda United namun cubaan pemain-pemain Selangor tidak mencabar penjaga gol Felda United, Norazlan Razali.

Pertukaran pertama Selangor pada minit ke-63 mengeluarkan Endrick Parafita dan memasukan Nurridzuan.

Pada minit ke-64 cubaan daripada Rufino tersasar ke sisi gol pasukan Felda United sebelum satu lagi tandukan daripada beliau pada minit seterusnya  berjaya ditahan oleh Norazlan Razali.

Minit ke-69. Felda United akhirnya berjaya menemui gawang Selangor melalui cubaan jarak dekat rembatan ‘near post’.

Gambar oleh: Asiana.my

Selangor kemudian membuat pertukaran mengeluarkan Antonio German digantikan dengan Syahmi Safari sebelum membuat pertukaran terakhir memasukkan Sean Selvaraj bagi menggantikan Amri Yahyah.

Perlawanan bertambah rancak dengan serangan bertubi-tubi daripada pasukan Selangor pada babak-babak akhir sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.

Keputusan penuh, Selangor seri 1-1 dalam perlawanan ini menentang Felda United.