Jelajah Pramusim Thailand: MOF Customs United v Selangor

Jelajah Pramusim Thailand: MOF Customs United v Selangor

Selangor memulakan siri jelajah perlawanan pramusim ke Thailand dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan pasukan MOF Customs United, 3-0.

Jurulatih B. Satiananthan memulakan perlawanan dengan meletakkan Khairulazhan Mohd sebagai penjaga gol utama. Pemain import Selangor, Michal Nguyen digandingkan di bahagian pertahanan tengah bersama Taylor Ragen. Syahmi Safari bermain di pertahanan kanan dan K. Prabakaran pula di pertahanan kiri. Halim Saari berada di posisi tengah kiri dan Wan Zack Haikal di tengah kanan. Faiz Nasir dan Endrick Dos Santos pula mengemudi jentera tengah pasukan. Rufino Segovia dan Antonio German digandingkan dibahagian serangan.

Selangor memulakan perlawanan dengan membuat hantaran-hantaran pendek di tengah padang. Pihak lawan membuat percubaan pertama pada seawal minit ke-2 tetapi sepakan itu tersasar melewati palang gol.

Selangor mendapat peluang pertama pada minit ke-5 untuk mendahului pihak lawan apabila hantaran jauh Endrick menemui Rufino tetapi situasi satu lawan satu bersama penjaga gol lawan tidak dapat disudahkan.

Pihak lawan sekali lagi membuat percubaan pada minit ke-10 tetapi percubaan tersebut tersasar melewati palang gol.

Minit ke-13 menyaksikan Endrick sekali lagi membuat lorongan kepada Rufino namun percubaan itu berjaya dihalang pihak lawan.

Minit ke 19 menyaksikan pihak lawan mendapat sepakan percuma tetapi percubaan mereka tidak berjaya menepati sasaran. Selangor mendapat satu lagi peluang pada minit ke-22 apabila sepakan percuma Endrick tidak mendapat penyudahan di depan gol lawan.

Pada minit ke-25 pemain pihak lawan dikenakan kad merah tetapi jurulatih B. Satiananthan telah meminta untuk pihak lawan terus bermain dengan 11 pemain atas semangat perlawanan persahabatan.

Minit ke-28 Rufino sekali lagi dihidangkan dengan satu lagi peluang tetapi beliau tidak berjaya menewaskan penjaga gol pihak lawan.  Gawang Selangor hampir dibolosi pihak lawan pada minit ke-30 sebelum percubaan mereka itu berjaya tetapi ditepis oleh Khairulazhan.

Selangor akhirnya menjaringkan gol pertama melalui Rufino Segovia selepas larian di sebelah kanan Syahmi membuat hantaran terus ke dalam kotak penalti dan kuisan Endrick kepada Rufino disempurnakan dengan baik.

Gambar oleh Asiana.my

Tambahan satu minit masa tambahan separuh masa pertama menyaksikan Faiz Nasir mendapat peluang untuk menambah jaringan tetapi sepakan beliau tidak berjaya menemui sasaran.

Gambar oleh Asiana.my

Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan Selangor mendahului dengan 1-0 walaupun Selangor boleh mendahului dengan beberapa gol lagi.

Separuh masa ke 2 bermula dengan pertukaran oleh Satiananthan dengan memasukkan K. Sarkunan menggantikan Abdul Halim Saari.

Pihak lawan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke 48 tetapi tandukan yang dibuat melewati palang gol.

Rufino berjaya menambahkan jaringan kedua untuk Selangor pada minit ke 50 dengan satu sepakan percuma selepas beliau dikasari di luar kotak penalti.

Gambar oleh Asiana.my

MOF United sekali lagi hampir mendapatkan gol pertama tetapi percubaan itu diselamatkan tiang gol kiri Selangor.

Selangor menambahkan jaringan ketiga apabila Endrick menyudahkan hantaran daripada Wan Zack Haikal pada minit ke-61.

Selangor membuat pertukaran kedua pada minit ke-65 apabila memasukkan Sean Selvaraj menggantikan Wan Zack Haikal.  Pertukaran seterusnya dilakukan dengan memasukkan Muhammad Nurridzuan menggantikan Prabakaran pada minit ke-68. Pada minit ke-70 Abdul Latiff Suhaimi pula dimasukkan menggantikan Taylor Regan.

Selangor terus membuat pertukaran pada minit ke-72 dengan menggantikan Rufino Segovia dengan Amri Yahyah.

Mohd Norhakim Isa dimasukkan menggantikan Endrick pada minit ke-74.  Minit ke-79 menyaksikan Selangor membuat dua pertukaran serentak dengan memasukkan Mohd Syawan Zainon menggantikan Syahmi Safari  dan Azreen Zulkafali menggantikan Antonio German. Minit ke-84 menyaksikan Michal Nguyen digantikan dengan Mohamad Ashmawi Yakin. Minit ke-86 Faiz Nasir pula digantikan oleh K.Kannan.

Tambahan masa 4 minit diberikan pada akhir perlawanan tidak menambahkan jaringan kepada kedua-dua pasukan.

Keputusan masa penuh Selangor menewaskan MOF Customs United dengan jaringan 3 tanpa balas. Pasukan Selangor akan meneruskan siri jelajah Thailand dengan perlawanan kedua bertemu Chonburi FC pada 15hb Januari pada pukul 4 petang waktu Thailand.