Once Red, #ALWAYSRED! Terima kasih!

Once Red, #ALWAYSRED! Terima kasih!

Selamat tinggal dan terima kasih.

Sudah menjadi lumrah bola sepak tiada pemain yang akan kekal selama-lamanya untuk sesebuah pasukan.

Oleh disebabkan itu Persatuan Bolasepak Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa pemain yang akan meninggalkan skuad Selangor bagi musim ini.

Antara pemain yang bakal meninggalkan skuad Selangor adalah:

Michal Nguyen
Pemain pertahanan berdarah Filipina-Czech ini merupakan pemain pertahanan bagi skuad Red Giants pada musim ini.

Mengisi slot pemain import ASEAN, beliau hadir pada Disember musim lalu dan berjaya mencatat 29 penampilan kurang satu penampilan daripada Taylor Regan yang membuat penampilan terbanyak musim ini.

Selain itu, beliau turut mencatat satu bantuan gol selepas hantaran beliau disudahkan dengan sempurna Endrick Dos Santos melalui sepakan luar kotak pada perlawanan lig menentang JDT di Stadium Shah Alam.

Endrick Dos Santos Parafita
Endrick Dos Santos merupakan seorang lagi pemain import yang dilepaskan oleh FA Selangor.

Turut hadir pada Disember lalu, Endrick merupakan pemain tengah di samping Halim Saari, Sandro Da Silva dan K. Sarkunan berjaya mencatat lima gol dan tiga bantuan gol.

Latiff Suhaimi
Berasal daripada Kelantan, pemain pertahanan tengah ini menyarung jersi bernombor 13 dan mencatat 19 penampilan bagi musim ini.

Faiz Nasir
Digelar Messi Malaysia kerana skil beliau di atas padang dan saiz tubuh badan, Faiz hadir bersama-sama Latiff Suhaimi Disember lalu daripada pasukan Terengganu FC.

Beliau berjaya mencatat satu gol liga menentang Terengganu FC dan dua gol bagi Piala FA menentang Kelantan FA.

Selain itu, Faiz berjaya menghasilkan lima bantuan gol.

Nurridzuan Abu Hassan
Nurri pada awal musim bermain selaku pemain pertahanan kiri namun diubah posisinya bermain di bahagian tengah.

Beliau juga mencatatkan 17 penampilan sepanjang berada bersama skuad Red Giants bagi musim ini.

Sebelum hadir ke Selangor, Nurri merupakan pemain pasukan PKNS.

Azreen Zulkafali
Memakai jersi nombor 25, Azreen bermain di posisi pertahanan kanan.

Meskipun bukanlah pilihan utama, namun Azreen seringkali memberikan yang terbaik terutama pada awal musim ketika Syahmi Safari dilanda kecederaan.

Azreen berjaya membuat 7 penampilan dan memperoleh dua bantuan jaringan bagi musim ini.

Fandi Othman
Hadir ketika hampir sahaja musim bermula, Fandi yang merupakan bekas ketua pasukan Harimau Muda menggantikan posisi K. Kannan di bahagian pertahanan kiri.

Beliau yang merupakan pemain pinjaman daripada pasukan PKNS bermain sebanyak 22 perlawanan pada musim ini

Bantuan gol beliau untuk jaringan Sean Selvaraj di Stadium Hang Jebat sudah pasti sukar untuk dilupakan oleh peminat Red Giants.

Nurhakim Isa
Pemain kelahiran Perak ini hadir selaku pemain tengah pasukan Selangor.

Namun tuah bukanlah berada di pihak Hakim selepas beliau dilanda beberapa kecederaan jangka masa panjang yang menyaksikan beliau tidak dapat beraksi bagi musim ini.

Untuk musim ini, beliau sekadar mencatat dua penampilan sahaja.

Sekali lagi FA Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas jasa yang telah dicurahkan oleh pemain-pemain di atas untuk skuad Red Giants.

Meskipun tidak lagi menyarung jersi Selangor selepas ini, namun nama anda akan kekal dalam sejarah bola sepak Selangor sampai bila-bila.

#AlwaysRed