Perlu teruskan fokus

Perlu teruskan fokus

Setelah mempamerkan aksi yang memberangsangkan dalam sepuluh perlawanan sebelum ini dan berjaya menghuni tangga teratas kumpulan A Piala Presiden 2019, skuad muda Selangor perlu terus fokus untuk layak ke pusingan seterusnya lantas menjadi juara.

Setakat ini, Selangor berjaya mencatat lima kemenangan, seri empat, dan hanya tewas sekali sahaja dengan 19 mata berjaya dikutip.

Untuk aksi bulan Jun, tiga perlawanan akan diharung skuad Piala Presiden Selangor dengan Armed Forces FC, Sabah dan juga Kedah akan menjadi lawan mereka.

Menentang Armed Forces FC pada 17 haribulan ini, Selangor sekali lagi digesa untuk memberikan aksi terbaik seperti perlawanan sebelum ini di mana Armed Forces FC berjaya di tewaskan dengan keputusan 4-0.

Seterusnya Selangor akan melayan kunjungan Sabah di Stadium Mini Persada PLUS pada 20 haribulan.

Dalam pertembungan sebelum ini, Selangor berjaya mengikat Sabah 2-2 di Stadium Bolasepak Likas.

Sudah pasti kali ini bermain di laman sendiri sedikit sebanyak akan memberi kelebihan buat Selangor untuk meraih tiga mata penuh.

Seterusnya skuad muda Selangor akan bertandang ke Stadium Mini Jitra bagi menghadapi cabaran pasukan Kedah pada 27 Jun ini.

Ketajaman bahagian serangan Selangor dituntut untuk mempamerkan aksi terbaik bagi perlawanan ini kerana Kedah merupakan pasukan yang paling sedikit bolos dengan hanya lapan gol dilepaskan.

Tambahan pula bermain di laman sendiri, sudah pasti Kedah akan bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Namun apa yang boleh kita jangkakan, skuad muda Selangor sudah pasti akan mempamerkan aksi terbaik mereka sekaligus meraih kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan.

Semoga berjaya Young Giants!