Unifi Liga Super 2019: Pahang v Selangor

Unifi Liga Super 2019: Pahang v Selangor

Malam tadi telah berlangsung perlawanan ke-4 Unifi Liga Super 2019 buat pasukan Selangor dan juga perlawanan away kedua Red Giants musim ini.

Beraksi di Stadium Darul Makmur, pasukan Pahang selaku pasukan tuan rumah di bawah kendalian Ketua Jurulatih Dollah Salleh ini sudah pasti menjadi pilihan utama perlawanan.

Tambahan pula kehadiran 18,000 penonton yang rata-ratanya penyokong Tok Gajah, Pahang dilihat menaruh harapan yang tinggi untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam rekod pertemuan mereka berhadapan dengan Red Giants di Kuantan.

Manakala pasukan Selangor pula yang sedang dalam proses untuk terus mencari rentak keserasian taktikal dan pemain, datang ke Pahang dengan menggalas tugas berat.

Red Giants sedang dahagakan satu kebangkitan dan sudah semestinya matlamat utama pasukan adalah untuk memberikan persembahan yang lebih baik. Terutamanya buat penyokong Gergasi Merah yang turut hadir mewarnai Stadium Darul Makmur semalam.

Laungan sorakan dan chant daripada Ultras serta penyokong Selangor tidak henti bergema menghidupkan suasana memberi semangat kepada pasukan Merah Kuning.

Beberapa pertukaran telah dibuat oleh ketua jurulatih B. Satianthan dalam kesebelasan utama yang diturunkan pada malam ini. Tiga (3) pemain masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan iaitu Wan Zack, Hakim Isa dan Taylor Regan. Manakala Khyril Muhymeen, Haziq Ridwan dan Sandro Da Silva tidak diturunkan pada perlawanan ini.

Pemain yang tersenarai di dalam kesebelasan utama skuad Selangor adalah Khairulazhan selaku penjaga gol, Latif Suhaimi, Nurridzuan, Endrick Dos Santos, Faiz Nasir, Halim Saari, Syahmi Safari, K. Sarkunan, Syazwan Zainon, Michal Nguyen dan kapten pasukan, iaitu penjaring terbanyak musim lalu, Rufino Segovia.

Gambar oleh: Asiana.my

Kesebelasan utama Pahang pula dibarisi oleh Mohd Helmi Eliza Elias, Matt Davies iaitu kapten pasukan, Goulon Herold Mark, Wan Zaharulnizam, Norshahrul Idlan Talaha, Jose Eduardo, Mohd Faisal Mohd Rosli, Saddil Ramdani, Safuwan Baharuddin, Muslim Ahmad dan Mohamadou Sumareh.

Selangor turun pada hari ini dengan pertama kali menyarung jersi away baru JOMA yang berwarna putih, manakala pasukan Pahang memakai jersi kuning tuan rumah.

Perlawanan bermula dengan beberapa asakan awal daripada pasukan tuan rumah. Kelebihan beraksi di tempat sendiri nyata jelas memberikan pasukan Pahang keselesaan dengan berjaya membuat beberapa percubaan minit awal permainan.

Namun, selepas 10 minit perlawanan berlangsung, Selangor mula mendapat rentak dan menunjukkan warna sebenar. Percubaan pertama Selangor datang hasil rembatan padu Rufino Segovia pada minit ke-11, menggegarkan sisi luar gawang gol Pahang.

Selangor mula mengorak langkah dengan hantaran-hantaran bola berbahaya ke dalam kotak penalti Pahang. Minit ke-16, Rufino dijatuhkan di dalam kotak kawasan tuan rumah namun pengadil memutuskan untuk tidak meniup wisel, menidakkan dakwaan Rufino yang bertegas beliau dijatuhkan di situ.

Minit ke-21, satu lagi hantaran cantik daripada Halim Saari tepat ke kaki Rufino yang kemudiannya berjaya menggelecek kedua-dua pertahanan tengah pasukan Pahang untuk berada di dalam posisi satu lawan satu dengan penjaga gol. Cubaan Rufino kali ini leret dan berjaya ditangkap kemas oleh Helmi Eliza.

Pertukaran awal terpaksa dilakukan oleh Pahang mengeluarkan Muslim Ahmad dan memasukkan Afif Amiruddin pada minit ke-24 setelah gerakan Rufino sebentar tadi meletakkan Muslim di posisi yang sedikit kekok semasa cuba untuk menghadang Rufino dan akhirnya beliau terpaksa akur dan mengalami kecederaan.

Dalam serangan bertalu-talu dan tempo permainan banyak dikawal oleh pasukan Red Giants, gol Selangor digegarkan dengan gerakan counter attack oleh Pahang pada minit ke-34. Sepakan rendah dari luar kawasan penalti oleh Wan Zaharulnizam berjaya menewaskan Khairulazhan.

Minit ke-36, Selangor kembali bangkit dengan kali ini, percubaan daripada pemain import baru Selangor, Endrick Parafita. Larian bijak oleh Endrick berjaya mencipta ruang untuknya melepaskan rembatan. Namun, rembatan Endrick tidak mencabar Helmi Eliza.

Pada minit ke-43, Rufino sekali lagi mencabar Helmi Eliza dengan sepakan yang kencang yang berjaya ditepis untuk menghadiahkan sepakan penjuru kepada Selangor.

Separuh masa pertama tamat dengan Pahang mendahului Selangor 1 gol berbalas 0 meskipun Selangor telah mempamerkan satu permainan yang cukup menarik dan memberangsangkan di babak pertama.

Babak kedua perlawanan bermula tanpa sebarang pertukaran dilakukan.

Permainan dilihat semakin intense dengan kedua-dua pasukan menggunakan lebih banyak asakan-asakan fizikal dan saling bertukar-tukar kawalan bola.

Pahang melakukan pertukaran kedua pada minit ke-60 mengeluarkan Saddil Ramli dan memasukkan Faisal Halim.

Gambar oleh: Asiana.my

GOL SELANGOR! Pasukan Red Giants berjaya memecah kebuntuan melalui gol cantik yang dijaringkan oleh Rufino Segovia hasil gerakan satu dua jentera serangan Selangor.

Pahang kemudian terus membuat percubaan bertubi-tubi, namun Khairulazhan dan benteng pertahanan Selangor gagah membentes setiap hantaran dan rembatan yang dilakukan, menggagalkan usaha Pahang untuk bangkit.

Pada minit ke-67, Selangor sekali lagi mencabar Helmi Eliza melalui “counter-attack” yang hampir-hampir disudahkan oleh Rufino, namun tidak berjaya.

Selangor membuat pertukaran pertama memasukkan Sean Selvaraj pada minit ke-69 bagi menggantikan K. Sarkunan yang telah banyak membantu memenangi bola buat pasukan Selangor di kawasan tengah padang

Minit ke-72 menyaksikan drama apabila pemain pertahanan Pahang, Herold Goulon dilayangkan KAD MERAH selepas mengasari Endrick di luar kawasan penalti Pahang.

Pahang melakukan pertukaran terakhir apabila mengeluarkan Norsharul Idlan Talaha dan memasukkan penyerang Dickson Nwakaeme pada minit ke-73.

Gambar oleh: Asiana.my

Minit ke-75, Rufino berjaya mencari Sean Selvaraj yang mampu menyengat tapak tangan Helmi Eliza dengan sepakan beliau! Sean tampak memberi impak kepada permainan sebaik sahaja dia memasuki permainan.

Selangor membuat pertukaran kedua pada minit ke-83, mengeluarkan Syazwan Zainon dan digantikan dengan Amri Yahyah.

Satu lagi cubaan menarik Selangor melalui sepakan “overhead kick” oleh Sean Selvaraj melewati tiang gol hadir pada minit ke-84.

Latiff Suhaimi terbaring kesakitan selepas cabaran 50-50 dengan Sumareh. Pemain popular Pahang itu nampaknya tidak dapat beraksi dengan sepenuh potensi setelah kerap dikawal ketat oleh Nurridzuan Abu Hassan sepanjang perlawanan ini. Nurri turut mempamerkan persembahan yang menarik membantu pasukan Selangor di bahagian serangan dan juga pertahanan.

Pertukaran terakhir dilakukan oleh Selangor pada masa tambahan mengeluarkan Faiz Nasir dan memasukkan Ashmawi Yakin sebelum pengadil meniup wisel penamat.

Perlawanan tamat dengan Selangor berjaya mengikat tuan rumah Pahang, 1-1 di Stadium Darul Makmur.

 

Tonton video penuh HIGHLIGHTS: unifi Liga Super M2019 – Pahang v Selangor