PIALA MALAYSIA 2019: Selangor Layak Ke Suku Akhir

PIALA MALAYSIA 2019: Selangor Layak Ke Suku Akhir

JENGKA – Akhirnya Selangor berjaya mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.

Keputusan ini juga menyaksikan Selangor menjadi juara Kumpulan D dengan 10 mata berjaya dikutip berbanding pencabar terdekat, Melaka dengan lapan mata.

Pada awal permainan, Felda terlebih dahulu melakukan percubaan melalui rembatan pemain import mereka Khairul Amri namun sedikit tersasar.

Minit ke-11, Felda berpeluang untuk membuka akaun jaringan namun tandukan Thiago Aquino ditepis kemas Khairulazhan Khalid.

Selangor kemudiannya mula memperkemaskan rentak permainan demi mencari gol pembukaan.

Ternyata ianya membuahkan hasil apabila Ifedayo Olusegun berjaya menyudahkan hantaran Endrick Dos Santos pada minit ke-15 untuk meletakkan Selangor di hadapan.

Masuk babak kedua, Selangor menampilkan corak permainan yang lebih kemas dan lebih berdisiplin.

Namun serangan balas Felda hampir memberikan jaringan penyamaan tetapi percubaan deras Hadin Azman sekadar menggegar tiang gawang Khairulazhan.

Ternyata derita Felda semakin bertambah apabila hantaran lintang K. Prabakaran ditanduk masuk oleh Khyril Muhymeen pada minit ke-72.

Malang semakin menimpa pasukan Felda apabila pemain pertahanan mereka, Thiago Aquino dilayangkan kad kuning kedua sekaligus diarah keluar padang pada minit ke-87.

Kedudukan kekal 2-0 hingga tamat permainan dengan kemenangan berpihak kepada Selangor.

Keputusan ini juga menyaksikan Selangor dijadualkan bertemu pasukan Perak pada 22 September ini di Stadium Ipoh.