PIALA MALAYSIA 2019: SELANGOR RAIH KEMENANGAN PERTAMA, TEWASKAN MELAKA UNITED

PIALA MALAYSIA 2019: SELANGOR RAIH KEMENANGAN PERTAMA, TEWASKAN MELAKA UNITED

Tiga mata penuh diraih oleh skuad Red Giants malam ini ketika bertandang ke Stadium Hang Jebat bagi perlawanan kedua Piala Malaysia 2019 menentang pasukan Melaka United.

Ketua jurulatih Selangor, B, Satiananthan melakukan tiga pertukaran kepada kesebelasan utama menentang Felda United tempoh hari dengan memasukkan Faiz Nasir, K. Prabakaran dan mengembalikan K. Sarkunan di bahagian tengah.

Selangor memulakan permainan dengan baik di separuh masa pertama dengan lebih banyak mendominasi penguasaan bola di tengah padang.

Deretan demi deretan peluang terhidang namun gagal disudahkan dengan baik oleh bahagian serangan yang diketuai oleh penjaring terbanyak pasukan, Ifedayo Olusegun.

K. Sarkunan melakukan percubaan tepat pertama Selangor seawal minit ke-7, namun percubaan leret beliau ditangkap kemas oleh penjaga gol Melaka United, Ahmad Solihin Mamat yang beraksi dengan baik sepanjang perlawanan.

Selang 7 minit kemudian, Ifedayo berjaya menewaskan Ahmad Solihin Mamat namun jaringan tersebut tidak disahkan oleh pengadil kerana dikesan berada dalam kedudukan offsaid.

Peluang keemasan Selangor sekali lagi gagal disudahkan pada minit ke-16 apabila Sandro da Silva gagal menyudahkan hantaran Syazwan Zainon yang melakukan kombinasi permainan yang baik bersama K. Prabakaran.

K.Sarkunan jelas beraksi dengan cemerlang pada malam ini apabila kerap kali mematahkan serangan pasukan tuan rumah dengan melakukan beberapa rampasan bola yang baik dan mengunci pergerakan Safiq Rahim serta Luka Milunovic.

Sandro da Silva sekali lagi hampir meletakkan Selangor dihadapan pada minit ke-27 namun cubaan Sandro sekadar melewati palang.

Tamat separuh masa pertama, tiada jaringan terhasil di Stadium Hang Jebat, biarpun Selangor dilihat lebih berkemampuan untuk melakukan sesuatu.

Memasuki separuh masa kedua, pasukan tuan rumah dilihat mula memperkemaskan permainan mereka dan acap kali mengasak ke kubu pasukan Selangor.

Namun kekebalan benteng pertahanan Selangor yang diterajui oleh Taylor Regan dan Michal Nguyen membantutkan usaha tersebut.

Selangor terpaksa menunggu lebih sejam untuk gol pembukaan, apabila K.Prabakaran berjaya menewaskan pertahanan pasukan Melaka United dari sayap kiri dan lorongan cantik beliau mudah disudahkan oleh Endrick Dos Santos pada minit ke-61.

10 minit berselang, Selangor hampir menggandakan kelebihan gol apabila pergerakan Faiz Nasir dan Sandro da Silva berjaya mencipta peluang untuk Syazwan Zainon yang melakukan percubaan tepat dari jarak dekat, namun digagalkan oleh Solihin.

Penjaga gawang Selangor, Khairul Azhan yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan telah melakukan beberapa tepisan dan tangkapan yang menakjubkan.

Refleks luar biasa Azhan pada minit ke-78 yang menafikan percubaan cantik dari Luka Milunovic benar-benar menyelamatkan pintu gol Selangor dari dibolosi.

Melaka hampir berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit akhir perlawanan apabila Milunovic sekali lagi berjaya meloloskan diri dari pertahanan pasukan Selangor.

Tetapi bentesan saat-saat akhir dari Syahmi Safari berjaya menghalang beliau dari melepaskan rembatan ke pintu gol Selangor yang tidak dikawal.

Perlawanan berakhir dengan jaringan satu gol kosong, berpihak kepada pasukan Selangor. Khairulazhan Khalid dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas mempamerkan aksi yang menakjubkan.

Red Giants kini mempunyai 4 mata daripada dua perlawanan sekaligus menjadi pendahulu Kumpulan D.

Untuk perlawanan seterusnya, Selangor akan melayan kunjungan PDRM FC di Stadium Shah Alam pada 18 Ogos ini.

Tahniah Red Giants!