Unifi Liga Super 2019: PJ City FC v Selangor

Unifi Liga Super 2019: PJ City FC v Selangor

Malam tadi telah berlangsung perlawanan kedua Unifi Liga Super buat pasukan Selangor yang juga merupakan perlawanan away pertama Red Giants musim ini.

Beraksi tidak jauh dari Shah Alam, Stadium MBPJ dipenuhi dengan kelibat penyokong Selangor. Panji warna merah kuning tetap berkibar megah mengiringi mereka yang turun memberi sokongan di stadium ini meskipun hujan sempat membasahi bumi Petaling Jaya sebelum sepak mula.

Selangor membuat sedikit pertukaran dalam percaturan kesebelasan utama berbanding perlawanan menentang Felda United tempoh hari apabila menurunkan Syazwan Zainon untuk debut beliau buat Selangor di bahagian sayap, menggantikan Amri Yahyah. Syahmi Safari yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan juga diturunkan mengambil alih tempat Azreen Zulkafali.

Lain-lain pemain yang turut tersenarai di dalam kesebelasan utama skuad Selangor adalah Khairulazhan selaku penjaga gol, Taylor Regan, Antonio German, Endrick Dos Santos, Faiz Nasir, Halim Saari, K. Prabakaran, Syazwan Zainon, Michal Nguyen dan kapten pasukan, iaitu penjaring terbanyak musim lalu, Rufino Segovia.

Kesebelasan utama PJ City FC pula dibarisi oleh Mohd Muhaimin, Joshua Jake, Elizeu Aralijo, Beomgeun Bae, Pedro Henrique, Giancarlo Lopes, Mohd Aizulridzwan, Barathkumar Ramaldo, Rajes Perumal, Veenod Subramaniam & Tinagaran Baskeran selaku kapten.

Perlawanan bermula dengan hantaran-hantaran pendek sebelum Selangor dihadiahkan sepakan penjuru pertama melalui gerakan Endrick dan Rufino yang berjaya dibentes pemain pertahanan PJ City pada minit ke-2.

Gandingan Taylor Regan dan Michal Nguyen di bahagian tengah pertahanan Selangor dilihat memberikan persembahan yang sangat menarik dan kukuh setelah beberapa kali berjaya mematahkan serangan awal PJ City.

Pada minit ke-9, percubaan pertama PJ City FC hadir hasil gerakan daripada sepakan percuma pertama perlawanan oleh Beomgeun Bae, namun tendangan pemain berjersi nombor 8 itu jauh tersasar.

Gambar oleh:Asiana.my

Minit ke-11, Selangor hampir-hampir mendahului PJ City namun hantaran leret Syahmi Safari dari bahagian kanan sayap itu gagal dicapai oleh Rufino Segovia dan bola terkeluar daripada permainan.

Pada babak-babak awal permainan, kelibat Halim Saari dan Endrick Dos Santos di kawasan tengah padang dilihat banyak membantu Selangor memenangi bola sambil mengawal tempo permainan.

Syahmi Safari sekali lagi berjaya mencari Antonio German melalui hantaran jauh sebelum gelecekkan Antonio dibentes pemain pertahanan PJ City di luar kotak pada minit ke-21.

Minit ke-25 perlawanan menyaksikan gerakan cantik satu dua Faiz Nasir dan Syazwan Zainon yang berjaya menewaskan dua orang pemain pertahanan PJ City. Hantaran leret gerakan tersebut menemui Rufino, namun penjaring terbanyak Selangor musim lalu itu tidak sempat membuat rembatan dan bola itu kemudian sempat dikeluarkan pemain PJ City.

Percubaan seterusnya daripada Selangor datang melalui rembatan Syazwan Zainon yang hinggap di sisi gol! Sekali lagi Selangor hampir berjaya menembusi gawang PJ City melalui peluang yang hadir pada minit ke-29 ini.

Selepas 30 minit perlawanan berlangsung, Syazwan Zainon dan Antonio German dilihat saling bertukar posisi di antara sayap kanan dan kiri pasukan Selangor bagi mengelirukan kubu pertahanan PJ City FC.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada pemain pertahanan PJ City FC setelah Faiz Nasir dikasari di minit ke-36.

Selangor terus mengasak dengan percubaan leret kaki kiri Rufino tepat ke dakapan penjaga gol PJ City sebelum pengadil meniupkan wisel tamat babak pertama.

Kedudukan terikat seri 0 – 0 semasa tamat aksi separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bermula tanpa sebarang pertukaran daripada kedua-dua pasukan.

Gambar oleh:Asiana.my

Minit ke-49, hantaran silang cantik dari Syazwan Zainon berjaya disambut Rufino di dalam kotak PJ City, namun tampanan Rufino yang kurang kemas gagal menyudahkan peluang pertama Selangor dalam babak kedua ini.

Syahmi Safari sekali lagi mengambil peluang meledakkan rembatan dari luar kotak, tetapi berjaya ditangkap oleh penjaga gol PJ City, Mohd Muhaimin Mohamad pada minit ke-53.

Khairulazhan turut dilihat mempamerkan aksi cemerlang setelah beberapa kali berjaya menangkap kemas percubaan penyerang PJ City sepanjang satu jam perlawanan telah berlangsung.

Minit ke-56, Selangor membuat pertukaran pertama, mengeluarkan Taylor Regan digantikan dengan Latiff Suhaimi.

Kemudian asakan demi asakan dipamerkan. Syahmi sekali lagi berjaya membuat hantaran cantik ke bahagian tengah namun cubaan first timer Faiz Nasir sedikit tersasar ke sebelah kiri gol PJ City FC pada minit ke-62.

Selangor terus melakukan pertukaran kedua pada minit ke-62, memasukkan Nurridzuan menggantikan Antonio German.

Gambar oleh:Asiana.my

Pada minit ke-72, PJ City melakukan counter attack dan berjaya membuat shot on target melalui Giancarlo Lopes, namun Khairulazhan dengan tenang menyelamatkan percubaan tersebut.

Minit ke-74, Selangor membuat satu lagi gerakan berbahaya, namun pertahanan PJ City FC yang berkampung dalam kotak penalti mereka sendiri berjaya menyerap tekanan yang diberikan.

Namun pada minit ke-79, pengadil menghadiahkan penalti kepada PJ City FC. Khairulazhan dipersalahkan kerana telah menjatuhkan penyerang PJ City FC di dalam kotak dan Pedro Enrique, mudah menyudahkan sepakan penalti tersebut meskipun penyokong masih riuh memberi tentangan terhadap keputusan pengadil.

Selangor membuat pertukaran ketiga apabila menggantikan Endrick Dos Santos dengan Sean Selvaraj pada minit ke-81.

Perlawanan bertambah sengit dengan Faiz Nasir semakin rancak di tengah padang menggelecek dua orang pemain PJ City sambil melebarkan permainan ke bahagian sayap pada minit ke-84 bagi terus mencipta peluang buat Selangor.

Rembatan padu Rufino Segovia dari luar kotak melalui gerakan itu tidak berjaya di tampan kemas oleh Mohd Muhaimin namun asakan susulan Selangor gagal menemui gawang PJ City.

Minit ke-87, Syahmi Safari dijatuhkan di dalam kotak PJ City dan memaksa pengadil untuk meniup wisel menandakan penalti untuk pasukan Selangor!

GOL! Rufino Segovia mengambil sepakan spot itu dengan rembatan deras menembusi gawang PJ City pada minit ke-89 bagi menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir perlawanan.

Perlawanan tamat setelah 4 minit masa tambahan diberikan. Pasukan tuan rumah PJ City akhirnya berjaya mengikat Selangor dengan kedudukan 1 – 1.

 

Tonton video penuh HIGHLIGHTS: unifi Liga Super M2019 – PJ City FC v Selangor