Previu Perlawanan: Felda United vs Selangor

Previu Perlawanan: Felda United vs Selangor

Previu Perlawanan: Felda United vs Selangor

Bagi perlawanan keempat terakhir Liga Super 2019, Selangor dijadualkan untuk bertemu pasukan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak pada esok hari jam 9 malam.

 

Ini merupakan pertembungan yang ketiga musim ini di antara Selangor dan Felda selepas sekadar seri 1-1 pada perlawanan pertama liga dan tewas 1-2 dalam pertemuan Piala FA.

Dalam perlawanan sebelum ini, pasukan Selangor berjaya menundukkan Pahang dengan keputusan 5-2.

Ifedayo Olusegun berjaya mencatat hatrik kedua beliau buat musim ini dan gol yang kelapan beliau meskipun baru sahaja didaftarkan pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Sudah pasti pada perlawanan menentang Felda pada esok hari, Ifedayo akan sekali lagi menjadi senjata utama B. Satiananthan untuk merobek gawang gol pihak lawan.

 

Mengenai ketersediaan pemain pula, empat pemain iaitu Syazwan Zainon, Nurridzuan Abu Hassan, Ashmawi Yakin dan juga Azreen Zulkafali tidak dapat diturunkan atas faktor kecederaan.

Namun, Hakim Isa dimaklumkan sudah cergas sepenuhnya dan kini bersama dengan pasukan dalam perjalanan ke Jengka.

Selain itu, K. Sarkunan masih lagi menjalani penggantungan selepas beliau dilayangkan kad merah sewaktu menentang pasukan JDT.

Sudah pasti pasukan Selangor akan bermain dengan penuh semangat pada perlawanan ini untuk meraih kemenangan kerana masih lagi gagal menewaskan Felda pada musim ini.

Kemenangan ini juga bakal menyaksikan Selangor berada di kedudukan kedua liga sekiranya Pahang gagal meraih kemenangan menentang Kuala Lumpur.