Previu Perlawanan: Selangor vs Kedah

Previu Perlawanan: Selangor vs Kedah

SHAH ALAM- Selepas sekadar mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir, Selangor tekad untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ke-13 Liga Super 2019 menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Perlawanan ini nyata penting buat Red Giants kerana ia merupakan peluang terbaik untuk Selangor merampas tempat ketiga liga daripada Kedah.

Perlawanan sebelum ini menyaksikan Selangor mencatatkan keputusan seri 1-1 sewaktu bertandang ke Stadium Darul Aman dengan Sandro Da Silva menjadi penjaring tunggal Selangor.

Bekas bintang Lang Merah itu telah melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal hasil daripada hantaran cantik Azreen Zulkafali.

Untuk pertembungan kali ini, Amri Yahyah, Nurridzuan Abu Hassan, Azreen Zulkafali bakal kembali memperkuatkan pasukan Selangor selepas selesai menjalani hukuman penggantungan perlawanan.

Selain itu, K. Prabakaran juga sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan selepas beliau juga tidak diturunkan pada perlawanan lalu atas faktor kecederaan.

Sudah pasti perkara ini sedikit sebanyak menyuntik semangat pemain untuk memburu kemenangan.

Namun, khidmat Sean Selvaraj terpaksa dilupakan untuk perlawanan kali ini selepas beliau telah mengutip tiga kad kuning dan terpakasa menjalani penggantungan.

Semoga Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh sekaligus merampas kedudukan ketiga liga daripada Kedah serta memberikan tekanan kepada Pahang.