Previu perlawanan: Selangor vs Kuala Lumpur

Previu perlawanan: Selangor vs Kuala Lumpur

SHAH ALAM- Selepas berjaya mencatat kemenangan dramatik 3-2 menentang pasukan Kuala Lumpur di Cheras Mac lalu, Selangor tekad untuk mempamerkan aksi yang lebih baik bagi pertembungan pusingan kedua pada Sabtu ini di Shah Alam.

Kemenangan ke atas Kuala Lumpur juga merupakan kemenangan pertama Selangor bagi musim ini dan menjadi titik perubahan momentum pasukan Merah Kuning untuk meraih keputusan perlawanan liga yang lebih positif.

Perlawanan kali ini merupakan perlawanan penting bagi Selangor untuk meraih tiga mata penuh dan mencabar kedudukan empat terbaik Liga Super Malaysia 2019.

Selain itu, pertembungan ini juga merupakan perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat pasukan Red Giants dan City Hawks kerana faktor Derbi Lembah Klang.

Perseteruan di antara kedua-dua pasukan ini bukanlah asing lagi dan ianya sentiasa berakhir dengan penuh drama dan kontroversi.

Untuk statistik, Selangor berjaya mengutip empat mata daripada tiga perlawanan selepas menang ke atas Kedah, diikat ketika di Manjung menentang PKNP dan tewas di Kuala Terengganu.

Manakala Kuala Lumpur berjaya mengutip enam mata daripada tiga perlawanan selepas mencatat kemenangan ke atas PKNP dan PKNS namun tewas kepada PJ City-MIFA.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur masih lagi berada di kedudukan tiga terbawah liga (tangga ke-10) berbanding Selangor yang menghuni tangga ke-5.

Untuk kem Selangor, Halim Saari dan Syahmi Safari tidak dapat diturunkan untuk perlawanan kali ini atas faktor kecederaan.

Namun, penyokong Selangor boleh menarik nafas lega apabila pemain import dari Brazil, Endrick Dos Santos disahkan sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan Sabtu ini.

Ini nyata sebuah perkhabaran gembira bagi ketua jurulatih, B. Satiananthan kerana meskipun tidak dapat menggunakan khidmat Halim, Endrick mampu mengisi kekosongan tersebut.

Semoga Selangor akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan kali ini sekaligus berjaya mengutip tiga mata penuh.