PREVIU PERLAWANAN: Selangor VS Melaka United

PREVIU PERLAWANAN: Selangor VS Melaka United

SHAH ALAM- Sabtu ini, pasukan Selangor bakal melayan kunjungan pasukan Melaka bagi perlawanan ke-12 Liga Super 2019 di Stadium Shah Alam.

Pada pertembungan yang lalu, skuad Red Giants berjaya merekodkan kemenangan dramatik apabila pemain gantian, Sean Selvaraj menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan untuk menewaskan Melaka United dengan jaringan 4-3.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selain itu, ketua pasukan Selangor, Amri Yahyah turut menghasilkan satu jaringan bertaraf antarabangsa selepas percubaan jarak jauh beliau pada awal permainan berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Untuk rekod, dalam lima pertembungan lalu antara kedua pasukan dalam liga, Selangor berjaya menjaringkan 12 gol dan bolos 10 gol.

Namun untuk perlawanan kali ini, khidmat Amri Yahya, Nurridzuan Abu Hassan serta Azreen Zulkafali terpaksa dilupakan kerana ketiga-tiga pemain ini sedang menjalani hukuman penggantungan perlawanan oleh FAM.

Amri serta Nurridzuan digantung atas insiden sewaktu menentang pasukan Perak awal April lalu, manakala Azreen pula digantung kerana telah mengutip 3 kad kuning.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Ketiadaan Amri menjadikan lilitan kapten sekali lagi mungkin akan diberikan kepada pemain muda Selangor yang meningkat naik iaitu K. Sarkunan.

Bagi status kecederaan pula, Endrick Dos Santos, Wan Zack Haikal serta Rufino Segovia sahaja yang masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Semoga Selangor bermain dengan baik pada perlawanan minggu ini sekaligus meraih tiga mata penuh.