PTSR18: Review Pusingan Awal

PTSR18: Review Pusingan Awal

Mengulas mengenai prestasi Pasukan Bolasepak Wanita Selangor dalam peringkat kumpulan Piala Tun Sharifah Rodziah, Ketua Jurulatih Zainal Nordin berkata, beberapa perlawanan awal kejohanan telah menemukan anak didiknya dengan pasukan lawan yang mencabar jika dibandingkan dengan beberapa perlawanan yang berikutnya.

Pasukan yang telah mereka hadapi pada beberapa perlawanan pertama itu adalah pasukan yang mempunyai lebih banyak pengalaman, selain dibarisi pemain-pemain skuad kebangsaan, menyaksikan pasukan wanita Red Giants memulakan cabaran dengan sedikit goyah sebelum kembali mendapat rentak kemenangan sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

“Empat pasukan awal yang kita lawan kesemuanya bagus. Manakala ketiga baki perlawanan kejohanan kita dapat lihat dari awal yang mereka juga mampu memberikan saingan, tetapi kita lebih yakin dengan kekuatan yang kita ada dan pemain semua sudah menyasarkan matlamat untuk mengumpulkan mata dari perlawan-perlawanan tersebut.”

“Walaupun begitu, tidak dinafikan, kesemuanya mempunyai kekuatan tersendiri. Contohnya semasa bertemu Pulau Pinang, iaitu antara tiga perlawanan akhir pusingan awal kejohanan, kelebihan pada masa itu lebih berpihak kepada kita, memandangkan jadual Pulau Pinang yang bermain petang dan kemudian pagi untuk hari berikutnya. Namun kita hanya mampu seri dengan mereka, membuktikan mereka juga adalah satu pasukan yang bagus.”

Tambah Zainal, beliau memahami keadaan jadual yang terlalu padat sememangnya mencabar buat mana-mana pasukan kerana para pemain tidak dapat rehat yang secukupnya. Ia juga menjadi masalah utama pasukan Selangor sehinggakan mereka ditewaskan Melaka minggu lepas dengan perbezaan jaringan yang besar.

Namun begitu, persembahan pasukan dapat dilihat meningkat dengan jelas. Sasaran untuk mendapat lebih jaringan pada perlawanan terakhir kumpulan untuk melayakkan diri ke separuh akhir turut tercapai.

“Kita berjaya buat comeback ini adalah disebabkan pemain kita lebih fokus dalam perlawanan-perlawanan tersebut. Kita yakin bahawa kita mampu menguasai pasukan lawan dan ini adalah perubahan sikap dari segi mental yang membezakan persembahan kita di awal kejohanan dengan di hujung pusingan awal,” jelas Zainal.

Ketika ditanya tentang harapan Ketua Jurulatih, Zainal Nordin untuk pasukan wanita, beliau menyasarkan untuk pasukan ini layak ke peringkat akhir kejohanan.

“Kita dah lihat bagaimana game pasukan Kedah sebelum ini, jadi kita akan buat sesuatu untuk menyekat pergerakan pemain-pemain mereka. Dalam perlawanan sebelum ini, kita agak lebih defensive dengan menggunakan 5-4-1 dan cuba menjadi lebih agresif di separuh masa kedua serta berjaya mendapat beberapa peluang yang tidak disudahkan. Namun kali ini, kami akan bermula dengan rentak yang lebih offensive dan agresif dari awal.”

“Saya harap pemain-pemain kita dapat ikut perancangan kita di atas padang semasa perlawanan nanti.” ujar Zainal.