Red Giants Hapus Badi Jengka

Red Giants Hapus Badi Jengka

JENGKA- Selepas berjaya menewaskan Pahang 5-2 pada bulan Jun yang lalu, Selangor meneruskan momentum kemenangan dengan menundukkan pasukan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.

Perlawanan bermula dengan kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati apabila masing-masing masih menilai keupayaan pasukan lawan.

Selangor hampir berjaya memecahkan kebuntuan melalui percubaan Faiz Nasir pada minit ke-30, namun percubaan tepat tersebut gagal menembusi gawang gol yang dikawal rapi Norazlan Razali.

Selangor akhirnya berjaya mendapat gol pembukaan melalui gerakan Sandro Da Silva hasil umpanan Faiz Nasir, setelah sepakan padu dari jarak dekat tersebut gagal ditepis keluar Norazlan pada minit ke-44.

Masuk babak kedua, The Settlers menggandakan serangan dalam usaha mencari jaringan penyamaan namun barisan pertahanan Selangor nyata terlalu ampuh buat mereka.

Sebaliknya, Red Giants berjaya menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-51 hasil penyudah penyerang berbisa dari Nigeria, Ifedayo Olusegun.

Jaringan tersebut juga merupakan jaringan yang kesembilan Ifedayo dalam saingan Liga Super musim ini.

Felda United akhirnya berjaya menewaskan Khairulazhan Khalid pada minit ke-63 hasil percubaan Jocinei Schad.

Keputusan 2-1 kekal hingga tamat permainan. Selangor berjaya membawa pulang tiga mata penuh sekaligus melonjakkan kedudukan ke tangga ketiga Liga Super 2019.