REVIU PERLAWANAN: Selangor tewas tipis

REVIU PERLAWANAN: Selangor tewas tipis

IPOH- Perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 menyaksikan Selangor tewas tipis 1-0 menentang pasukan Perak di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Jaringan tunggal Brendan Gan pada separuh masa pertama menjadi pemisah pada malam ini.

Selangor pada malam ini hanya melakukan satu pertukaran pada perlawanan sebelum ini apabila B. Satiananthan membawa masuk Latiff Suhaimi bagi menggantikan K. Sarkunan.

Sebaik sahaja wisel dibunyikan, pasukan Perak dilihat lebih mendominasi permainan dengan beberapa percubaan berjaya dilakukan.

Ternyata pelan Mehmet Durakovic untuk melancarkan serangan bertubi-tubi membuahkan hasil apabila pemain sensasi mereka, Brendan Gan berjaya membuka jaringan.

Brendan yang tidak dikawal pemain tengah melepaskan rembatan luar kotak penalti pada minit ke-13 dan berjaya menewaskan Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor cuba bangkit namun hantaran cantik Endrick Dos Santos pada minit ke-23 gagal disudahkan oleh Khyril Muhymeen.

Masuk babak kedua, giliran Selangor pula mengasak kubu pertahanan pasukan Perak dan berjaya memperoleh beberapa peluang cantik namun gagal disempurnakan.

Khairulazhan sekali lagi menjadi penyelamat Selangor apabila dengan cemerlan menolak masuk tandukan Brendan Gan pada minit ke-53.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-61 tetapi tolakan Ifedayo Olusegun berjaya ditepis keluar Hafizul Hakim.

Tiada jaringan tambahan berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan tamat dengan keputusan 1-0 berpihak kepada pasukan Perak.