RODNEY CELVIN AKWENSIVIE SAH MENJADI PEMAIN SELANGOR

RODNEY CELVIN AKWENSIVIE SAH MENJADI PEMAIN SELANGOR

Dengan berbesar hatinya kami ingin memaklumkan bahawa pemain pertahanan yang berdarah kacukan Malaysia-Ghana, Rodney Celvin Akwensivie kini sah menjadi pemain Selangor. 

Mesra disapa dengan gelaran Bonai sempena nama pemain pasukan kebangsaan Indonesia, Titus Bonai, pemain yang bertubuh sasa ini merupakan pemain kelahiran Sarawak dan pernah bermain bersama pasukan Sarawak FA serta PKNS FA.

Bersama Sarawak, beliau berjaya mencatat sebanyak 12 penampilan pada tahun 2016 hingga tahun 2017. 

Kemudian pada tahun 2018, beliau berhijrah ke pasukan PKNS dan berjaya mencatat sebanyak 34 penampilan.

Bermain selaku pemain pertahanan tengah, Rodney berjaya membantu pasukan PKNS untuk berada di tangga ketiga Liga Super musim lalu. 

Lahir pada 25 November 1996, Rodney kini berumur 23 namun sudah memiliki corak permainan yang berkualiti.

Bersama pasukan kebangsaan, beliau pernah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe untuk mewakili skuad Harimau Malaysia pada Mei lalu.

Selain itu, beliau juga pernah beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi pasukan Malaysia B23.

Bersama Datuk Ong Kim Swee, Rodney berjaya mencatat debut sewaktu Malaysia bertemu pasukan Bahrain di Sukan Asia tahun lalu. 

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang kepada Rodney Celvin ke Selangor dan semoga beliau dapat membantu Red Giants kembali menjadi pasukan gergasi Malaysia. 

#RodneyIsRed