Sandro Da Silva Menambah Kualiti Import Red Giants

Sandro Da Silva Menambah Kualiti Import Red Giants

Suka cita diumumkan bahawa Sandro Da Silva kini sah menyarung jersi Selangor FA untuk musim 2019.

Sandro Da Silva bukannya nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia. Dilahirkan pada 1 Oktober 1983, pemain berasal dari Brazil ini telah menempah nama di Malaysia sejak tahun 2015 bersama pasukan Kedah.

Penampilan beliau dalam pasukan Kedah merupakan antara tenaga yang telah membuka ruang kepada Skuad Kedah untuk menjuarai Liga Perdana (2015), Piala Malaysia (2016), Piala Sumbangsih (2017) dan Piala FA (2017).

Beliau juga merupakan seorang pemain tengah yang digeruni oleh pemain-pemain pertahanan lawan. Sandro mempunyai rekod 100 penampilan dan telah menjaringkan 50 gol sepanjang kariernya bersama pasukan Kedah.

Dengan kualiti sedemikian, Sandro dilihat mampu menjadi sandaran untuk menajamkan lagi jentera serangan Selangor untuk musim ini.

Kehadiran beliau juga adalah bukti komitmen pihak pengurusan untuk memperkuatkan pasukan Red Giants untuk mencabar kejuaraan dalam Liga Malaysia pada musim ini.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengucapkan selamat datang kepada Sandro Da Silva ke pasukan Selangor. Semoga dengan kehadiran beliau mampu membawa Red Giants ke tahap yang lebih cemerlang pada musim ini.

Hantarkan ucapan dan kata-kata perangsang anda kepada Sandro di media sosial dengan menggunakan #SandroIsRed.