Satiananthan Kekal Ketua Jurulatih Selangor FA Bagi Musim 2020

Satiananthan Kekal Ketua Jurulatih Selangor FA Bagi Musim 2020

“Kejayaan bergantung pada persiapan sebelumnya, dan tanpa persiapan tentunya hanya akan ada kegagalan,” – Confusious

 

Kempen pasukan bola sepak Selangor FA (FAS) untuk musim 2019 baru sahaja berakhir pada minggu lepas, namun persiapan rapi untuk tahun hadapan telah pun bermula sejak beberapa bulan yang lepas.

 

Sepanjang tempoh ini, pihak pengurusan terus komited untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor yang merangkumi barisan pemain dan juga kejurulatihan kerana percaya ia adalah antara intipati utama kejayaan sesebuah kelab bola sepak.

 

Antara keputusan besar yang diambil oleh pihak pengurusan adalah pengekalan khidmat B. Satiananthan (Coach Satia) sebagai ketua jurulatih pasukan utama untuk tahun 2020. Keputusan ini adalah satu tindakan yang wajar sekiranya pencapaian beliau sepanjang musim ini dilihat secara keseluruhan.

 

Keputusan untuk meneruskan khidmat Coach Satia bukan satu keputusan yang mudah dan ia merupakan keputusan bersama yang telah mendapat persetujuan majoriti jawatankuasa Liga Profesional FAS (FAS Pro-League).

 

Sebagai permulaan, Coach Satia merupakan jurulatih Selangor FA yang mempunyai peratusan kemenangan paling tinggi sejak musim 2016 (tahun selepas Selangor FA memenangi kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2015). Tambahan pula, Coach Satia juga adalah antara jurulatih Selangor yang mempunyai peratusan kekalahan paling rendah untuk tempoh yang sama.

 

 

Coach Satia telah memperoleh pencapaian sedemikian walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan di luar kawalan terutamanya semasa awal musim ini. Kekangan tersebut termasuk kekurangan masa untuk mengenalpasti pemain yang diperlukan pasukan dan bilangan kecederaan yang dihadapi oleh para pemain tonggak pasukan.

 

Harus diingat bahawa biarpun pemain utama pasukan ini dilanda kecederaan jangka masa panjang, Selangor telah menjadi pasukan kedua paling banyak menjaringkan gol dalam carta liga dan semua ini bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi dari aspek taktikal yang telah ditetapkan oleh Coach Satia.

 

Daripada analisis yang telah dilakukan, banyak perlawanan yang melibatkan pasukan Selangor untuk musim ini telah berakhir dengan keputusan seri disebabkan kelemahan-kelemahan yang akan diperbaiki dengan kemasukan pemain-pemain baru untuk musim hadapan.

 

Beberapa pengumuman menarik akan diumumkan oleh pihak FAS sebelum hujung tahun ini dan kami sentiasa mengalu-alukan sokongan daripada penyokong setia Red Giants.

 

Transformasi yang dibawa oleh Tuanku Presiden, DYTM Tengku Amir Shah telah menitikberatkan kelangsungan jangka masa panjang dalam seluruh aspek kelab bola sepak; bermula daripada pengukuhan kewangan, pasukan utama, pembangunan pemain muda, mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan banyak lagi.

 

Memang benar, menamatkan musim dengan berada di tangga ketiga liga dan berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia, bukanlah satu kejayaan yang boleh kami canang-canangkan, namun pasukan yang baru sahaja ditubuhkan ini ternyata telah bersaing semampu boleh dan berharap momentum ini akan berterusan bagi musim yang akan datang.

 

Kita telah melihat kejatuhan banyak pasukan sama ada di dalam atau luar negara apabila pihak pengurusan tidak memberi penekanan terhadap kestabilan kewangan dan perancangan jangka masa panjang. Seperti anda, kami juga dahagakan kejuaraan lebih-lebih lagi untuk sebuah pasukan yang besar seperti Selangor FA.

 

Usaha yang diterajui oleh Tuanku Presiden dan juga barisan pengurusan untuk mengukuhkan kedudukan kelab di dalam setiap aspek sukan bola sepak sedang giat dijalankan. Kami yakin kita berada atas landasan yang tepat.

 

Sekali lagi, FA Selangor ingin mengucapkan terima kasih dan sangat menghargai sokongan yang diberikan kepada pasukan Merah Kuning sepanjang musim 2019 dan berharap agar sokongan tersebut akan berterusan untuk musim hadapan.

 

Kita adalah satu.