Selangor Buru Kemenangan Kedua

Selangor Buru Kemenangan Kedua

SHAH ALAM- Perlawanan ketiga Piala Tun Sharifah Rodziah menyaksikan skuad bola sepak wanita Selangor bakal menentang pasukan Perak.

Untuk perlawanan kali ini, sudah pasti kemenangan adalah misi utama skuad Selangor sekaligus merampas kedudukan pertama daripada pasukan Kedah.

Skuad Perak kini berada di tangga keenam selepas sekadar mencatat keputusan seri pada perlawanan lalu dan tewas pada perlawanan pembukaan.

Sebelum ini, skuad wanita Selangor berjaya meraih kemenangan pertama sewaktu menentang pasukan ATM dengan keputusan 2-0.

Kedua-dua jaringan tersebut berjaya dicetak oleh penyerang berbisa Selangor iaitu Nurashikin Azman.

Perlawanan kedua menyaksikan Selangor mencatat keputusan seri 1-1 menentang pasukan Melaka.

Kali ini, gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Andrea Lee Xin-Yi yang merupakan pemain tengah dan juga antara pemain muda yang semakin meningkat namanya.

Semoga dalam perlawanan seterusnya, Selangor akan mempamerkan aksi terbaik mereka sekaligus membawa pulang tiga mata penuh.