Selangor diikat di Darul Aman

Selangor diikat di Darul Aman

ALOR SETAR- Skuad gergasi merah kuning terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 menentang pasukan Kedah meskipun sudah mempamerkan aksi terbaik di Stadium Darul Aman semalam.

Sebaik sahaja wisel dibunyikan, pasukan tuan rumah terlebih dahulu melancarkan serangan.

Pada minit ke-15, Kedah hampir berada di hadapan namun Farizal Harun bertindak cemerlang untuk menepis keluar percubaan Jonathan Bauman.

Selang tiga minit kemudian, Selangor Berjaya membuka jaringan selepas Sandro Da Silva dengan mudah menyudahkan hantaran rakan sepasukannya Azreen Zulkafali sekaligus meletakkan Selangor di hadapan.

Selangor yang ghairah memburu gol kedua mendapat beberapa peluang keemasan namun percubaan Syahmi Safari Berjaya ditepis Ifwat Akmal.

Sebaliknya, Kedah Berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan ketua pasukan mereka, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-40.

Masuk babak kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan tempo permainan dengan beberapa percubaan berjaya dihasilkan namun gagal disudahkan.

Pada minit ke-56, Kedah nyaris berada di hadapan namun sekali lagi Farizal Harun memainkan peranan penting bagi menafikan percubaan Fernandi Rodriguez.

Selangor hampir menamatkan perlawanan dengan kemenangan namun percubaan Halim Saari pada minit ke-87 sekadar menggegar palang.

Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Farizal Harun dipilih sebagai pemain terbaik untuk pasukan Selangor selepas mempamerkan aksi yang begitu cemerlang.