Selangor kini ditangga ketiga

Selangor kini ditangga ketiga

SHAH ALAM- Selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, Selangor mempamerkan aksi cemerlang untuk bangkit menewaskan PKNP FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.

Ia sekaligus menyaksikan Selangor berjaya meraih kemenangan keempat musim ini untuk berada di tangga ketiga dengan 16 mata.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, kedua-dua pasukan seringkali melancarkan serangan bertali arus namun pasukan pelawat terlebih dahulu memperoleh peluang keemasan.

 

Pada minit ke-10, larian solo Hafiz Ramdan hampir memberikan kelebihan buat PKNP namun percubaannya dinafikan oleh penjaga gol Selangor Farizal Harun.

Selangor kemudiannya berjaya meraih sepakan penalti selepas pemain tengah mereka, Abdul Halim Saari dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Peluang itu disempurnakan dengan baik oleh Sandro Da Silva untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12 dan ini merupakan gol ketiga beliau untuk musim ini.

Masuk babak kedua, Faiz Nasir dan Sandro memperoleh beberapa peluang untuk menjarakkan jurang gol namun dinafikan oleh penjaga gol PKNP, Ahmad Asyraaf.

 

Pengendali Selangor, B Sathianatan kemudian melakukan pertukaran taktikal yang menyaksikan Syahmi Safari beraksi di bahagian sayap kanan pada pertengahan babak kedua.

Perubahan taktikal itu membuahkan hasil apabila Syahmi berjaya menyudahkan umpanan Sean Selvaraj untuk gol kedua pada minit ke-78.

 

PKNP berjaya mengurangkan defisit gol selepas Fazrul Hazli Kadri berjaya melepaskan rembatan padu untuk gol saguhati pada minit-78.

Kedudukan 2-1 memihak Selangor kekal sehingga wisel penamat.