Selangor & PKNS FC Kini Adalah Satu

Selangor & PKNS FC Kini Adalah Satu

Sukacita dimaklumkan bahawa kelab PKNS FC dan FA Selangor kini digabungkan di bawah entiti yang sama.

Keputusan ini diambil setelah pihak pengurusan kelab mengambil kira beberapa faktor penting demi menjaga kelangsungan bola sepak di negeri Selangor secara amnya.

Keputusan ini diambil oleh kedua-dua pihak hasil perbincangan yang menyeluruh sejak beberapa bulan yang lepas bagi memastikan pembangunan bola sepak negeri Selangor mencapai tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Antara faktor utama penggabungan ini  adalah demi meningkatkan kecekapan penggunaan dana dalam membangunkan bola sepak Selangor. Penggabungan ini akan mengelakkan perebutan dana dari penaja yang sama, mengurangkan pembaziran dan memastikan perbelanjaan dibuat dengan lebih berhemah dan efisyen.

Penggabungan ini juga dijangkakan akan meningkatkan jumlah penyokong yang hadir untuk menyaksikan pasukan Selangor semasa hari perlawanan. Malahan, saiz aset fizikal dan digital untuk pengiklanan penaja juga bakal bertambah menyebabkan lebih banyak dana akan mampu dijanakan oleh pasukan Selangor. 

Selain kekuatan kewangan, penggabungan FAS dan PKNS FC akan meningkatkan keupayaan pasukan Selangor dalam membangun dan melahirkan bakat-bakat bola sepak yang berasal dan menetap di Selangor.

Perkara ini boleh dicapai melalui penyelarasan program-program pembangunan bola sepak PKNS FC dan FAS di peringkat negeri, perkongsian kemahiran dan kemudahan padang latihan berkualiti di kompleks Sukan SUK dan PKNS serta penganjuran liga-liga bola sepak peringkat negeri yang lebih sistematik dan teratur.

Justeru, penggabungan ini bakal menyediakan ekosistem bola sepak yang lebih teratur dan mampu menyalurkan anak-anak muda yang berbakat kepada pasukan Selangor di setiap peringkat umur termasuklah pasukan utama. 

Di samping menghasilkan ekosistem yang lebih menyeluruh, penggabungan PKNS FC dan FAS membolehkan kewujuan pasukan reserve team yang amat penting bagi meneruskan pembangunan para pemain muda Selangor. Perkara ini amat penting kerana kebanyakan pemain muda Selangor tidak bersedia untuk beraksi di pentas Liga Super disebabkan jurang perbezaan yang besar di antara Liga Super dan Piala Presiden.

Perkara ini akan mengganggu pembangunan pemain muda secara semula jadi kerana mereka bermain bola dalam keadaan ketakutan dan tertekan. Oleh itu, pembentukan sebuah pasukan reserve team yang bermain di dalam sebuah liga yang yang kompetitif tetapi mempunyai persekitaran yang lebih sihat seperti Liga Premier adalah lebih sesuai untuk perkembangan dan pembangunan para pemain muda Selangor sebelum mereka menyertai pasukan Liga Super.

Kewujudan pasukan simpanan ini bakal memacu masa depan bola sepak di negeri ini secara lebih holistik. Melalui pasukan simpanan ini, lebih ramai pemain pelapis untuk skuad senior dapat dilahirkan, sekaligus memberikan kestabilan jangka masa panjang bagi bola sepak Selangor.

Akhir kata, industri bola sepak telah banyak berubah dan berkembang mengikut peredaran masa sejak kebelakangan ini. Untuk mengelakkan pasukan Selangor dari terus ketinggalan, DYTM Raja Muda Selangor, FAS dan PKNS FC  telah mengambil keputusan yang berani untuk kebaikan jangka masa panjang bola sepak Selangor. 

Penggabungan Selangor dan PKNS FC adalah keputusan penting yang bukan sahaja bakal menghasilkan perubahan yang besar dalam sejarah bola sepak negeri Selangor, malah akan menjadi salah satu simbol revolusi sebuah kelab bola sepak ke tahap yang lebih tinggi.

Demi Selangor. #KitaAdalahSatu #FearNothing