Selangor terikat di Shah Alam

Selangor terikat di Shah Alam

SHAH ALAM- Perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super 2019 menyaksikan Selangor diikat 1-1 menentang pasukan Melaka di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Selangor yang memburu jaringan awal, berjaya memperoleh beberapa peluang keemasan namun gagal disempurnakan.

Pemain tengah Selangor, Sandro Da Silva hampir meletakkan Selangor dihadapan pada minit ke-23 namun percubaan padu beliau sekadar menggegar palang gawang gol Melaka.

Tidak lama kemudian, Sandro sekali lagi memberikan ancaman dengan percubaan jarak jauh namun ditepis keluar Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-30, tindakan susulan Syahmi Safari selepas percubaan Sandro ditepis Khairul Fahmi berjaya meletakkan Selangor dihadapan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, Melaka cuba menggandakan serangan dalam usaha mencari jaringan penyamaan.

Hasilnya, Patrick Reichelt berjaya mengikat Selangor selepas beliau mudah menolak masuk hantaran rakan sepasukannya pada minit ke-60.

 

Tersentak dengan jaringan lawan, Selangor meningkatkan arus serangan namun tetap gagal menewaskan Khairul Fahmi Che Mat untuk gol kedua.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dan Selangor terpaksa berpuas hati dengan satu mata di laman sendiri.