Selangor Tewas Di Larkin

Selangor Tewas Di Larkin

LARKIN- Pasukan Red Giants terpaksa akur dengan kekalahan tipis 3-2 ke atas pendahulu Liga Super 2019, Johor Darul Takzim dalam satu aksi yang menarik di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Yunos semalam.

Sebaik sahaja wisel permainan dibunyikan, JDT tampil lebih bertenaga dengan mereka menguasai perlawanan.

Namun Endrick Dos Santos hampir mengejutkan tuan rumah menerusi satu gerakan serang balas pantas minit ketiga namun, percubaannya terkena tiang.

JDT yang tersentak dengan percubaan tersebut terus melancarkan serangan bertali arus dah akhirnya berjaya menewaskan Khairulazhan pada minit ke-10 melalui percubaan jarak jauh Gonzalo Cabrera.

Dua minit kemudian, gawang gol Selangor sekali lagi berjaya dibolosi JDT kali ini melalui percubaan Leandro Velazquez.

Selangor berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-41 selepas sepakan percuma Khyril Muhymeen Zamri gagal ditepis keluar Farizal Marlias.

Masuk babak kedua, JDT memperoleh peluang untuk menjarakkan jurang gol pada awal permainan namun berjaya dinafikan Khairulazhan.

Akhirnya, JDT berjaya memperoleh jaringan ketiga mereka setelah serangan bertali arus dilancarkan.

Safawi Rashid yang berjaya melepasi K. Prabakaran tidak mensia-siakan peluang untuk melakukan penyudah pada minit ke-61.

Lebih pedih, Selangor terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas K. Sarkunan dilayangkan kad merah selepas beliau protes dengan keputusan pengadil.

Namun semangat juang pemain Selangor tidak luntur dan berjaya memperoleh sepakan penalti selepas Ifedayo Olusegun dijatuhkan Aidil Zafuan.

Sandro Da Silva yang dibawa masuk pada separuh masa kedua dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-89.

Meskipun Selangor menggandakan serangan dalam usaha mencari jaringan penyamaan, tiupan wisel penamat oleh pengadil menjadi penghalang.

Keputusan ini menyaksikan Selangor kini berada di tangga kelima liga dengan 25 pungutan mata.