Selangor Tewas Di Saat Akhir

Selangor Tewas Di Saat Akhir

KUALA TERENGGANU- Selangor tewas 1-0 kepada Terengganu menerusi jaringan hujung perlawanan, selepas K. Sarkunan tertolak masuk bola ke gawang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat.

Sebaik sahaja perlawanan bermula, kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan baik.

Peluang keemasan Selangor hadir pada awal permainan melalui rembatan Syazwan Zainon tetapi ditangkap kemas penjaga gol Terengganu pada minit ke-18.

Terengganu juga memperoleh peluang keemasan pada babak pertama namun dinafikan Farizal Harun di gawang Selangor.

Kebuntuan gol menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, Selangor memperkemaskan permainan namun barisan pertahanan Terengganu sukar digugat.

Ifedayo Olusegun juga memperoleh peluang cantik dihadapan gol pada minit ke-72 namun tampanan beliau terkena tangan.

Ternyata aksi semalam bukanlah malam Selangor apabila K. Sarkunan tertolak masuk hantaran silang Adib Aizuddin pada minit pertama masa kecederaan, sekaligus menyaksikan Selangor tumpas buat pertama kali di laman lawan musim ini.