PraMusim Review: Selangor v Home United

PraMusim Review: Selangor v Home United

Selepas baru sahaja pulang dari Thailand, malam ini Selangor meneruskan persiapan sebelum sepak mula Liga Super dengan satu lagi perlawanan persahabatan pramusim menentang Home United, pasukan dari Singapura.

Perlawanan yang berlangsung di UM Arena ini menyaksikan Selangor menurunkan kesebelasan utama yang terdiri daripada 10 muka baru. Antaranya, Khairulazhan, Taylor Ragen, Rufino Segovia, Wan Zack Haikal, Endrick Dos Santos, Faiz Nasir, Halim Saari, K. Prabakaran, Azreen Zulkafali, Michal Nguyen dan Antonio German.

Perlawanan ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Tuanku Presiden, Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah.

2 minit pertama, Selangor bermula garang dengan dua cubaan awal terus ke penjaga gol Home United.

Gerakan berbisa Selangor dilihat banyak bermula dari bahagian sayap kiri dengan Wan Zack Haikal kerap menggusarkan pertahanan pasukan Home United.

Minit ke-8, percubaan Rufino di dalam kotak yang bermula daripada hantaran cantik oleh Wan Zack Haikal, tepat ke arah penjaga gol.

Selepas 10 minit perlawanan berlangsung, Selangor dilihat bermain dengan lebih tersusun dan begitu organized di tambah dengan hantaran berkualiti bahagian tengah yang banyak berpunca oleh Halim Saari.

GOL! Minit ke-13. Selangor berjaya menjaringkan gol awal perlawanan mendahului Home United melalui tandukan yang dilakukan oleh Antonio German. Gerakan yang bermula dari tengah oleh Halim Saari melebarkan permainan kepada Wan Zack Haikal itu sebelum membuat hantaran silang ke kawasan kota penati Home United, mudah menemui Antonio.

2 minit selepas itu, Wan Zack membuat percubaan selepas satu gerakan solo di tengah padang, namun tersasar.

Pada minit ke-17, Rufino dijatuhkan dalam kotak pasukan Home United, namun tiada penalti diberikan oleh pengadil.

Minit ke-20, Faiz Nasir mempamerkan satu skil  yang menarik apabila beliau berjaya dribble menewaskan tiga pemain Home United sebelum masuk kedalam kotak penalti dan melakukan percubaan kaki kanan. Namun rembatan oleh pemain yang lebih terkenal dengan kaki kiri ini, sedikit lemah dan berjaya ditangkap oleh penjaga gol lawan.

Wan Zack dikeluarkan dan kemudian digantikan dengan Syazwan Zainon pada minit ke-25.

Selang 5 minit, Home United mula mengasak dengan dua sepakan percuma yang berbahaya hampir menggugat gawang Selangor namun berjaya dikeluarkan dan ditepis oleh Khairulazhan.

Pada minit ke 33, Rufino kemudian dijatuhkan di luar kotak Home United dan pengadil menghadiahkan Selangor dengan sepakan percuma jarak dekat. Namun sepakan itu berjaya dihadang oleh tembok benteng pertahanan Home United.

Taylor Ragen, pemain import baru juga dilihat garang mempamerkan tackle dan hadangan cantik menyukarkan penyerang Home United pada akhir-akhir minit babak pertama.

Separuh masa pertama tamat dengan Selangor mendahului Home United 1 – 0.

Babak kedua bermula dengan kedua pasukan tidak membuat sebarang pertukaran.

Selepas 5 minit separuh kedua bermula, Selangor yang kelihatan kerap membuat beberapa percubaan garang akhirnya terpaksa akur dengan cubaan dari luar kotak oleh pemain bernombor 3 Home United, Hami Syahin Said menewaskan Khairulazhan yang mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Home United kemudian semakin rancak mengasak kubu pasukan Selangor dengan serangan demi serangan. Biarpun begitu, setiap cubaan yang dilakukan kerap dari bahagian sayap itu berjaya dipatahkan oleh pertahanan pasukan Selangor, Azreen Zulkafali dan K.Prabakaran.

Setelah 20 minit separuh masa kedua berlangsung dengan asakan fizikal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan, Selangor berjaya memecahkan gawang Home United buat kali kedua dengan jaringan cantik oleh Rufino Segovia. Larian menarik yang dilakukan Rufino berjaya menewaskan garisan pertahanan terakhir dan berjaya menyambut hantaran jauh dari Azreen Zulkafali sebelum membuat half-volley menewaskan penjaga gol Home United.

Bahagian pertahanan Selangor kini nampak lebih tersusun dengan kehadiran Taylor Ragen yang mengetuai dan mengemudi bek pasukan pasukan Selangor dari belakang.Selangor seterusnya melakukan dua pertukaran mengeluarkan Prabakaran digantikan dengan Nurridzuan dan seterusnya Faiz Nasir digantikan oleh Sarkunan.

Permainan yang nampak semakin agresif melihatkan beberapa kekasaran turut dilakukan dan sepakan percuma kerap diberikan buat pasukan Selangor.

Minit ke-77, GOL! Sepakan penjuru Selangor yang diambil oleh Syazwan Zainon berjaya ditanduk kemas oleh Rufino Segovia menjaringkan gol ketiga perlawanan buat Selangor.

Minit ke-80 pula, Sean Selvaraj masuk menggantikan Halim Saari yang menerima standing ovation daripada penyokong termasuk Tuanku Presiden. Pertukaran seterusnya oleh Selangor memasukkan Amri Yahyah, menggantikan Antonio German pada minit ke-83.

Pada minit ke-88, sentuhan dan larian Amri Yahyah hampir memberikan Selangor gol keempat perlawanan sebelum pengadil meniupkan wisel menandakan offside.

Taylor Ragen sekali lagi berjaya mengeluarkan hantaran silang yang berbahaya dilakukan oleh pemain sayap Home United dengan satu teknik tandukan yang menarik.

Minit ke-89, Azreen dikeluarkan digantikan dengan Namathevan A.

Pengadil memberikan 3 minit masa tambahan, sebelum Sean Selvaraj membuat cubaan terakhir perlawanan yang hampir menambah gol pasukan Selangor.

Perlawanan tamat dengan keputusan 3 – 1 berpihak kepada Selangor setelah menunjukkan aksi cemerlang.