PraMusim Review: Selangor v Kuala Lumpur

PraMusim Review: Selangor v Kuala Lumpur

Malam tadi telah berlangsung perlawanan persahabatan pramusim di antara Kuala Lumpur bertemu Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Walaupun perlawanan ini tidak dihebahkan kerana ianya merupakan satu sesi pemilihan pemain import buat pasukan Selangor, Stadium Bola Sepak Cheras tetap dipenuhi kelibat dan warna penyokong-penyokong dari kedua-dua pasukan.

Antara kesebelasan utama yang diturunkan oleh Selangor adalah Khairul Azhan, Sean Selvaraj, K.Prabakaran, Faiz Nasir, Halim Saari, beberapa orang lagi pemain import percubaan dan pemain skuad kebangsaan yang kini kembali menyertai kem latihan Selangor, iaitu Syahmi Safari dan Syazwan Zainon.

Bagi Wan Kapet, ini juga adalah pertama kali beliau dilihat beraksi menyarung jersi Selangor.

Gambar oleh Asiana.my

Babak awal perlawanan menyaksikan Selangor banyak membuat beberapa percubaan dan bijak mengukir peluang melalui permainan hantaran-hantaran pendek sekitar padang.

Dalam minit ke 7 perlawanan, Sean Selvaraj meneruskan prestasi baik beliau sepanjang pramusim apabila beliau berjaya menjaringkan gol pertama Selangor. Gol yang dijaringkan itu bermula dari hasil sentuhan through ball oleh Halim Saari yang berjaya memberi ruang kepada Sean dengan peluang one-on-one sebelum Sean menyumbat masuk bola itu menembusi gawang Kuala Lumpur.

Gambar oleh Asiana.my

Sejurus selepas itu, jelas kelihatan pemain Kuala Lumpur ingin mendominasi permainan dengan corak permainan yang lebih fizikal.

Namun, kebanyakan serangan pasukan Kuala Lumpur berjaya dipatahkan di bahagian midfield oleh pemain-pemain Selangor.

Pada minit ke-16, Syazwan Zainon disajikan dengan satu peluang baik, namun sepakan kaki kanannya itu berjaya dihalang oleh pemain pertahanan Kuala Lumpur. Separuh masa pertama kelihatan semakin rancak dengan semakin banyak peluang dicipta oleh pasukan Red Giants.

Kad kuning pertama dilayangkan kepada pemain berjersi no 4 Kuala Lumpur setelah menjatuhkan Wan Kapet.

Sean Selvaraj sekali lagi mencabar penjaga gol KL pada minit ke-23 dengan satu sepakan serong, namun penjaga gol KL mampu menepis untuk memberi sepakan penjuru kepada Selangor.

Peluang seterusnya datang daripada pemain import percubaan Selangor yang berjaya menewaskan pemain pertahanan KL tetapi sepakannya melewati palang gol.

Pada minit ke-26, K. Prabakaran berjaya menggelecek dan mencipta ruang untuk membuat satu hantaran lintang ke dalam kotak penalti Kuala Lumpur, namun sepakan dari Syazwan Zainon dari gerakan itu berjaya ditahan dan pengadil memberikan sepakan sudut kepada Selangor.

Prabakaran kerap dilihat mempunyai persaingan individu dengan Indra Putra di bahagian tepi padang.

Pada minit ke-30, Khairul Azhan dilihat berjaya membuat satu tangkapan kemas yang cantik mengawal sepakan daripada pemain KL sebelum KL sekali lagi mendapat ruang di kawasan penalti Selangor, dan kali ini berjaya dihalang oleh Syahmi Safari.

Minit ke-39, KL disajikan dengan satu peluang di depan gol tetapi ia kemudiannya berjaya dihalang sekali lagi oleh aksi berani Khairul Azhan dari jarak point blank.

Sebelum tamat babak pertama, pemain import Selangor sekali berjaya mencipta peluang dengan larian pantasnya. Sepakannya berjaya ditepis oleh penjaga gol KL dan kedua-dua pasukan terikat satu sama untuk dibawa ke babak kedua perlawanan.

Separuh masa kedua bermula dengan beberapa pertukaran dibuat oleh Selangor. Farizal Harun, Amri Yahyah, Wan Zack, Namathevan, K. Kannan, K. Sarkunan dimasukkan.

Percubaan pertama Selangor datang sejurus sepakan mula babak kedua setelah Amri Yahyah membuat satu hantaran lintang kepada Wan Zack tetapi sepakannya liar melewati palang.

Minit ke-49 Amri Yahyah sekali lagi membuat hantaran lintang mencari pemain import Selangor, tetapi kali ini ditanduk keluar oleh pertahanan KL

Pemain import percubaan Selangor itu seterusnya berjaya mencabar penjaga gol KL dengan satu sepakan leret kencang, namun berjaya ditepis oleh penjaga gol KL.

Permainan kemas semakin dapat dilihat oleh barisan pertahanan Selangor di mana kebanyakan cubaan Kuala Lumpur berjaya dibaca ataupun dipatahkan oleh pemain-pemain pertahanan Selangor.

Pada minit ke-56, pemain import Selangor berjaya menjaringkan gol melalui satu percubaan selepas peluang one on one terhidang dengan penjaga gol tetapi pengadil telahpun meniup wisel menandakan offsaid.

Gol penyamaan dari Kuala Lumpur berjaya dihasilkan oleh Syazwan Andik pada minit ke-58 apabila pertahanan Selangor tidak berjaya menghalang hantaran lintang pemain Kuala Lumpur.

Selangor seterusnya membuat beberapa pertukaran pada minit ke-61 memasukkan Norhakim Isa dan Latiff Suhaimi

Pada minit ke-64, Kuala Lumpur sekali lagi diberi peluang menjaringkan gol selepas Selangor sekali lagi tidak berjaya menguruskan hantaran lintang oleh pemain sayap Kuala Lumpur. Selepas beberapa cubaan, bola akhirnya berjaya dikeluarkan oleh Prabakaran.

Minit ke-67 Ashmawi dimasukkan menggantikan K. Prabakaran.

Gol kedua Selangor! Pada minit ke-69, Wan Zack menjaringkan gol hasil daripada hantaran sepakan sudut Amri Yahyah yang berjaya mencari Wan Zack di near post gol Kuala Lumpur.

Gambar oleh Asiana.my


Permainan bahagian pertahanan tampak lebih kemas selepas pengenalan Ashmawi Yakin di atas padang. Amirul Ashraff turut masuk menggantikan pemain import percubaan di bahagian pertahanan dan Syukri Azman menggantikan Faiz Nasir pada minit ke-71.

Pada babak akhir perlawanan, kedua-dua pasukan bertukar ganti menghadiahkan bola kepada pasukan lawan hasil daripada beberapa hantaran bola yang kurang kemas.

Pada minit ke-89, gol penyamaan dari KL dijaringkan hasil gerakan oleh Paulo Josue.

Perlawananan semakin bertambah dramatik apabila Selangor diberi sepakan penalti selepas Amri dijatuhkan di kawasan penalti KL pada minit ke-93.

Amri Yahyah, kapten pasukan Selangor menjaringkan gol kemenangan perlawanan dengan menyudahkan sepakan penalti tersebut.

Gambar oleh Asiana.my

Perlawanan berakhir dengan keputusan 2-3 berpihak kepada Selangor.