PraMusim Review: Selangor v Puchong Fuerza FC

PraMusim Review: Selangor v Puchong Fuerza FC

Sebentar tadi, satu lagi perlawanan persahabatan pramusim telah berlangsung yang menyaksikan Selangor mempamerkan kecemerlangan selepas menundukkan Puchong Fuerza FC 6-0

Setelah aksi kurang memuaskan pada perlawanan sebelum ini ditewaskan UKM F 5-2, Selangor kembali menunjukkan belang mereka yang sebenar selepas menundukkan juara Selangor Champions League 2018 iaitu Puchong Fuerza FC 6-0.

Untuk perlawanan kali ini, B. Sathianathan yang merupakan ketua jurulatih Selangor menurunkan kesebelasan utama beliau, juga kita dapat saksikan kelibat penjaring terbanyak Liga Super musim lalu iaitu Rufino Segovia bermain selepas baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Sebaik sahaja wisel permainan dibunyikan, tanpa membuang masa Selangor terus menyerang kubu pertahanan pasukan Puchong Fuerza.

Hasilnya pada minit ke-10, mereka berjaya membuka jaringan pertama melalui K. Prabakaran selepas kesilapan penjaga gol Puchong, Gabriel Sunday Aloysius yang gagal mengeluarkan bola dengan sempurna dan pantas Prabakaran mengambil kesempatan tersebut untuk meletakkan Selangor di hadapan.

Pada minit ke-21, giliran Wan Zack pula menguji pertahanan Puchong namun percubaan beliau sedikit tersasar ke bahagian kiri penjaga gol pihak lawan.

Meskipun baru sahaja menyertai sesi latihan, namun sukar untuk kita menafikan kualiti yang ada pada Rufino Segovia selepas beliau mudah menjaringkan gol kedua Selangor selang 21 minit selepas gol pertama.

Pemain import baru Selangor, Antonio German tidak melepaskan peluang untuk mencatatkan nama selaku penjaring selepas percubaan Wan Zack Haikal terkena palang dan jatuh tepat dihadapan beliau pada minit ke-39.

Sekali lagi Rufino membuktikan bahawa beliau adalah penyerang paling berbisa pada musim lalu selepas berjaya menewaskan 2 pemain pertahanan Puchong sekaligus menyumbat gol ke-4 Selangor pada minit ke-41.

Masuk babak kedua, beberapa pertukaran dilakukan oleh B. Sathianathan di mana menyaksikan Faiz Nasir, Sean Selavaraj, K. Sarkunan serta beberapa pemain lagi di bawa masuk.

Seperti separuh masa pertama, Selangor memulakan perlawanan dengan agresif di babak kedua.

Faiz Nasir yang masuk pada babak kedua berjaya memberikan impak awal selepas beliau berjaya menjaringkan gol ke-5 Selangor selepas beliau mendapat lorongan cantik daripada Antonio.

Sean Selavaraj melengkapkan pesta gol Selangor selepas menjaringkan gol ke-6 pada minit ke-83 permainan.

Ini merupakan perlawanan persahabatan terakhir buat Selangor dan selepas ini mereka akan berangkat ke Bangkok, Thailand bagi siri jelajah pra-musim.