PraMusim Review: PKNP v Selangor

PraMusim Review: PKNP v Selangor

Semalam telah berlangsung perlawanan persahabatan pramusim di antara Selangor menentang PKNP di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak. Ianya adalah salah satu lagi perlawanan daripada siri sesi latihan dalaman pramusim serta landasan ujian stamina para pemain.

Perlawanan tersebut diadakan tanpa hebahan kerana ianya juga adalah merupakan satu sesi percubaan bagi beberapa pemain import untuk menunjukkan kebolehan mereka di hadapan jurulatih pasukan, B. Satiananthan.

Kesebelasan utama yang diturunkan rata-ratanya adalah ahli keluarga baru Red Giants seperti Wan Zack Haikal, Faiz Nasir, Nurridzuan, Hakim Isa, Halim Saari, Latiff Suhaimi dan hanya 2 orang pemain dari skuad musim lepas yang berada di dalam senarai kesebelasan utama semalam iaitu, Sean Selvaraj dan Khairulazhan Khalid.

Ianya juga satu perlawanan yang mempunyai makna yang berbeza buat Norhakim Isa yang baru berhijrah menyertai Selangor dari PKNP. Kali ini Hakim bertandang ke Stadium Manjung sebagai pemain pasukan pelawat menentang pasukan lama beliau.

Gambar oleh Asiana.my

Perlawanan ini menggunakan format sesi percubaan dengan bermain dalam 3 separuh masa dan setiap separuh masa berlangsung selama 30 minit.

Meskipun ini hanyalah satu perlawanan percubaan, dan away game buat pasukan Selangor, ini tidak menjadi penghalang untuk penyokong Selangor datang menyaksikan sendiri perlawanan ini. Dapat dilihat di sekitar stadium kelibat penyokong Selangor memeriahkan suasana.

Gambar oleh Asiana.my

Babak awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan mengambil masa dalam mencari dan mengekalkan tempo. PKNP tampil lebih agresif dan fisikal. Meskipun begitu, beberapa percubaan awal mereka dapat dibaca dan dipatahkan terus oleh barisan pertahanan Selangor.

Pasukan Gergasi Merah yang kelihatan lebih garang dengan beberapa gerakan-gerakan tangkas di bahagian sayap terpaksa akur pada minit ke-13 selepas PKNP berjaya menjaringkan gol pertama hasil rembatan leret pemain import mereka Aleksandar Glisic.

Tidak lama selepas itu, asakan terus menerus dari bahagian kanan berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Selangor tetapi satu daripadanya sempat disambut oleh pemain berjersi no 25, Hasnan Mat Isa dengan rembatan dari jarak dekat di dalam kotak penalti sekaligus meletakkan PKNP di hadapan dengan 2 gol pada minit ke-16.

Setelah ketinggalan, Selangor mula menunjukkan belang sang Gergasi Merah bangkit dengan asakan demi asakan dan gerakan-gerakan cantik mengucar-kacirkan kawasan tengah pasukan PKNP. Namun, kebanyakkan percubaan di bahagian atas padang dapat diatasi oleh pertahanan mereka dengan tackle dan hadangan keras.

Pertukaran minit awal dilakukan oleh Selangor mengeluarkan pemain import percubaan dengan menggantikan posisi tersebut dengan pemain import percubaan yang seterusnya pada minit ke-23 bagi mengubah rentak permainan.

Separuh masa kedua menyaksikan Selangor melakukan 6 pertukaran pemain memasukkan pemain-pemain yang telah bersama dari musim lepas seperti Syukri Azman, Namathevan, K. Sarkunan, Amri Yahyah, Farizal Harun manakala PKNP hanya membuat 2 pertukaran mengeluarkan salah seorang pemain yang mengalami kecederaan di pertengahan babak ke-2.

Gambar oleh Asiana.my

10 minit awal babak kedua perlawanan menyaksikan persembahan yang lebih meyakinkan daripada pasukan Selangor. Kelibat jersi ke-3 edisi RMS berwarna hijau menguasai hampir keseluruhan padang dengan lebih agresif dan tegas.

Hantaran-hantaran pendek yang kemas menggerakkan bola di seluruh kawasan padang menunjukkan chemistry yang sudah mula terbina di antara pemain-pemain baru dan pemain lama.

Percubaan awal babak kedua datang dari pasukan Selangor melalui sepakan percuma yang dihadiahkan oleh PKNP di luar kotak. Hantaran silang dari sepakan itu berjaya disambut dengan tandukan oleh Sean Selvaraj yang kemudiannya melewati palang.

Gambar oleh Asiana.my

Pada minit ke-49, Selangor sekali lagi memberikan persembahan menarik melalui gerakan yang bermula dari tengah padang oleh Amri Yahyah. Hantaran panjang jarak jauh Amri menemui Wan Zack Haikal di bahagian sayap kiri padang yang kemudiannya berjaya menewaskan 2 orang pertahanan PKNP sebelum membuat satu hantaran cantik kearah kotak penalti mencari Sean. Namun percubaan leret Sean tepat kearah penjaga gol PKNP.

Gambar oleh Asiana.my

Wan Zack kemudian digantikan dengan Badrul Amin pada minit ke-53, seorang pemain muda yang juga salah satu jentera sayap Selangor yang laju.

Kelebihan bermain di tempat sendiri sememangnya dapat dilihat jelas dimiliki PKNP dengan sorakan keras penyokong mereka setiap kali pemain Selangor dijatuhkan dan setiap kali berlaku pelanggaran.

Faiz Nasir tampak lebih menonjol di babak kedua sebagai salah satu penggerak utama menghidupkan bahagian tengah yang banyak membuka ruang melalui hantaran beliau yang sangat precise.

Gambar oleh Asiana.my

Gandingan Faiz dan Amri dilihat sebagai kombinasi yang lebih kreatif dan seimbang apabila Amri banyak menggunakan kelebihan hantaran silang jauh beliau ke bahagian sayap berbanding Faiz yang lebih fokus kepada hantaran pendek yang clinical.

Minit ke-55, Selangor menerima satu sepakan percuma jarak jauh yang diambil oleh Amri Yahyah. Tandukan oleh pemain import percubaan Selangor hasil hantaran cantik itu kemudian berjaya menembusi gawang PKNP namun gol tersebut tidak dikira kerana pembantu pengadil sudah terlebih dahulu mengangkat bendera offside.

Pergelutan demi pergelutan berlaku di separuh masa kedua turut menyaksikan Namathevan Arunasalam dan Muhammad Ibni daripada PKNP dilayangkan kad kuning dalam satu insiden di bahagian tepi padang.

Babak ketiga bermula dengan Selangor membuat pertukaran 6 pemain memasukkan pemain-pemain muda manakala PKNP membuat 3 pertukaran sepanjang separuh masa ketiga berlangsung.

Gambar oleh Asiana.my

Selangor dilihat semakin mengawal keseluruhan permainan pada babak ini dengan kawalan rapi bahagian tengah, pertahanan yang lebih tegas dan kemas dan diikuti dengan beberapa serangan menarik.

Antara peluang terbaik separuh masa ketiga hadir pada minit ke-80 melalui gerak satu dua pemain penyerang dan tengah dari luar kotak hingga ke dalam kotak penalti PKNP namun sepakan terakhir jarak dekat dari gerakan ini terus melewati palang gol.

Perlawanan ini akhirnya berkesudahan dengan Selangor dikalahkan oleh PKNP dengan keputusan akhir 2-0. Namun banyak perkara positif yang dapat diambil daripada perlawanan ini seperti kualiti pemain import yang telah dikenal pasti serta keserasian pemain muda dan pemain baru yang bakal memberikan impak di bahagian tertentu buat pasukan Red Giants musim hadapan.

Highlights perlawanan: