Setahun FAS Baru

Setahun FAS Baru

Minggu ini, sempena setahun DYTM Raja Muda Selangor mengambil alih tampuk kepimpinan FA Selangor, kami akan berkongsi serba-sedikit apa yang telah baginda usahakan setahun yang lalu.

Perkara pertama yang baginda usahakan selepas mengambil alih jawatan presiden adalah untuk mengenalpasti masalah-masalah yang perlu diselesaikan. Oleh itu, satu bengkel telah dianjurkan untuk mendapat maklumbalas pemegang-pemegang taruh bidang bola sepak.

Sebanyak 56 organisasi telah terlibat dalam bengkel ini bagi bersama-sama mengembalikan zaman kegemilangan Selangor.

Antara pemegang taruh yang terlibat termasuk badan-badan induk, agensi-agensi kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan, syarikat-syarikat swasta dan paling penting sekali kumpulan kelab-kelab penyokong bola sepak Selangor.

Hasil daripada bengkel tiga hari ini, LIMA teras pembangunan utama untuk memulihkan dan memajukan FA Selangor telah dikenalpasti.

Lima teras ini adalah infrastruktur dan kemudahan, pasukan utama, pembangunan akar umbi, pengkomersialan, dan urus tadbir.

Setiap satu teras mempunyai fokus, visi dan misinya tersendiri.
Untuk merealisasikan harapan dan cita-cita para pemegang taruh Selangor, beberapa pelan jangka pendek dan jangka panjang dirancang mengikut teras-teras ini.

Untuk tahun pertama ini, terdapat beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan mengikut teras-teras yang telah dikenalpasti.

Kesemua usaha ini dijalankan untuk memastikan Selangor kembali pulih dan menjadi gergasi bola sepak yang digeruni seperti satu ketika dahulu.