Kenali Pemain Selangor: Sharvin Selvakumaran

Kenali Pemain Selangor: Sharvin Selvakumaran

Sharvin Selvakumaran, pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 18 tahun yang kini menyarung jersi nombor 7 pasukan Belia Selangor.

Sharvin memulakan karier bola sepak beliau pada 2012. Diawal penglibatannya dalam arena bola sepak, beliau pernah dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan Footskills yang telah diadakan di Manchester United, Liverpool dan Everton, England.

Pemain muda yang berada di posisi penyerang ini juga telah tersenarai diantara 13 pemain terbaik Allianz Football camp ke Indonesia dan pernah sekali lagi dipilih sebagai 3 pemain terbaik untuk ke Bayern Munich, Jerman dan seterusnya berpeluang berlatih bersama kelab tersebut pada tahun 2016.

Berbekalkan bakat dan potensi yang dimiliki, pemain muda ini seterusnya ditawarkan untuk ke Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Gambang dan mewakili pasukan Bola Sepak Pahang bagi kejohanan bawah 15 dan 16 tahun.

Pada tahun 2018, Sharvin telah menandatangangi kontrak bersama pasukan Selangor bawah 19 tahun dan dengan rasminya menjadi pemain muda Selangor sehingga kini.

Prestasi beliau yang sangat memberansangkan telah membuka ruang untuk Sharvin bermain bersama pasukan Malaysia bawah 19 tahun di bawah bimbingan jurulatih Bojan Hodak dan ini juga merupakan antara pencapaian terbaik beliau sepanjang karier selaku pemain bola sepak.

Sharvin menjadikan bola sepak ini sebagai karier kerana inspirasi daripada bapanya sendiri, Encik Selvakuman yang juga penyokong utama dalam kariernya. Selain itu, antara pemain bola sepak yang diminati beliau yang turut memberu inspirasi kepadanya adalah S. Kunalan (tempatan), Luis Nani dan Cristiano Ronaldo.

Ubi Selangor ini berhasrat untuk terus bermain bersama pasukan Selangor selama yang boleh dan mempunyai matlamat untuk membawa pasukan Selangor ke taraf dunia. Beliau juga ingin mengembangkan bakat dengan mewakili pasukan Malaysia dan seterusnya membawa nama Malaysia ke Piala Dunia.

Harapan Sharvin Selvakumaran untuk tahun 2019 ini adalah untuk menjulang Piala Belia bersama pasukan Selangor dan juga berhasrat untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Belia musim ini. Beliau juga menaruh harapan untuk diberi peluang bermain bersama pasukan utama Red Giants.

Semoga maju jaya kami ucapkan kepada Sharvin Selvakumaran bersama pasukan Merah Kuning!