Shopee Piala FA 2019: Kelantan v Selangor

Shopee Piala FA 2019: Kelantan v Selangor

Selangor memulakan aksi sulung kempen Piala FA 2019 dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan Kelantan 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Nurridzuan Abu Hassan dan K. Sarkunan diturunkan untuk menggantikan Endrick Dos Santos serta Halim Saari yang tidak dapat bermain kerana faktor kecederaan.

Selangor bermula garang sejak dari awal wisel ditiupkan dan mendominasi perlawanan melalui beberapa percubaan berbahaya.

Pada minit ke-26, Selangor hampir menjaringkan gol pertama namun percubaan deras Sandro Da Silva berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selangor sekali lagi mengasak kubu pertahanan Kelantan kali ini melalui percubaan Syazwan Zainon tetapi sepakannya sedikit tersasar di sebelah tiang gol pada minit ke-39.

Pada minit-minit terakhir separuh masa pertama, giliran Faiz Nasir pula membuat percubaan tetapi kali tersasar ke sebelah kiri gol Kelantan.

Kelantan cuba memberikan saingan untuk mengimbangi perlawanan di babak kedua. Walaubagaimanapun serangan yang dilakukan Kelantan berjaya diserap dengan baik oleh barisan pemain Selangor.

Selain itu, kekebalan barisan pertahanan Selangor yang diketuai Taylor Regan juga beraksi cemerlang untuk mematikan serangan Kelantan.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Gol pertama Selangor hadir apabila Syazwan Zainon berjaya melepasi pertahanan lawan dan melakukan sepakan deras pada minit ke-61 untuk menewaskan penjaga gol Kelantan.

Minit ke-65 giliran Faiz Nasir menambah jaringan dengan menolak masuk gol kedua untuk Selangor mendahului 2-0.

Selangor terus menekan barisan pemain Kelantan. Faiz Nasir, pemain kelahiran Kelantan sekali lagi menyumbat gol pada minit ke-87 hasil hantaran lintang Sandro Da Silva.

(Gambar oleh: Asiana.my)

Selangor menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-0.

Keputusan ini juga menyaksikan Selangor layak ke pusingan seterusnya bagi saingan Piala FA 2019.

Tahniah Red Giants!