#STILLRED: Nama, Amirul, Kannan & Syukri

#STILLRED: Nama, Amirul, Kannan & Syukri

Terus melangkah

Pihak pengurusan dan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah berjaya menandatangani lanjutan kontrak dengan beberapa lagi pemain yang dilihat mampu mewarnai bola sepak Selangor musim 2019 dengan kualiti-kualiti yang diperlukan bagi pasukan Gergasi Merah.

Berikut adalah antara pemain-pemain yang akan terus bersama kita musim hadapan. #StillRed

A.Namathevan
Pemain yang berusia 22 tahun ini merupakan pemain yang sangat versatile dengan kelibat beliau yang kerap kelihatan turun naik di sebelah kanan padang. Nama merupakan anak jati Selangor yang mula bermain untuk pasukan negeri ini semenjak tahun 2015 lagi bersama dengan pasukan Selangor B21 sebelum diserap masuk ke skuad utama. Hingga hari ini, Namathevan telah tampil untuk skuad utama Gergasi Merah dalam 35 perlawanan.

Amirul Ashraf
Juga merupakan anak kelahiran Selangor, Amirul adalah seorang pemain pertahanan yang kental dan pernah tampil mewakili skuad kebangsaan B17 beberapa kali. Beliau yang kini berusia 20 tahun, pernah bermain untuk MPSS, Frenz United dan Selangor B19 sebelum diserap masuk ke skuad utama. Amirul Ashraf telah beraksi untuk skuad utama Merah Kuning 16 kali musim lepas dan telah memberikan persembahan yang meyakinkan.

K.Kannan
Kannan Kalaiselvan, pemain yang penuh bersemangat ini juga merupakan salah satu tunggak utama skuad Red Giants. Kannan yang bermain di bahagian pertahanan kiri telah membuktikan yang beliau mampu kekal konsisten sepanjang musim apabila menjadi antara pemain yang tampil paling banyak musim lepas dengan 33 penampilan dalam satu musim. Anak jati Selangor yang berusia 22 tahun ini juga bermula dari skuad belia B21 Selangor dan pernah tampil beberapa kali untuk skuad Malaysia B22.

Syukri Azman
Merupakan salah seorang daripada pemain skuad Piala Presiden Selangor yang menjuarai kejohanan pada tahun 2017, Syukri membuat debut beliau untuk skuad utama ketika berada di bawah kendalian caretaker K. Gunalan dalam perlawanan menentang Pahang. Selangor menang 3 – 0 pada perlawanan tersebut. Syukri yang berasal dari Selangor dan berumur 21 tahun telah tampil 4 kali sepanjang musim lepas menyarung jersi Merah Kuning.

Beberapa pengumuman berkenaan pemain-pemain lain akan menyusul. Kami berharap dan doakan dengan kepercayaan yang diberikan kepada pemain-pemain ini, mereka mampu memberikan Selangor nafas yang lebih garang di atas padang nanti.

Kenali juga pemain-pemain lain yang turut menandatangi kontrak lanjutan bersama Selangor semalam di sini.

#StillRed